GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

F&N untung RM308.710 juta


Publication: BH
Date of publication: Nov 9, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Suffian A Bakar

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N Holdings) mencatat prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2013 apabila pendapatan meningkat 10.6 peratus kepada RM3.508 bilion berbanding RM3.171 bilion tahun sebelumnya.

Prestasi pendapatan lebih baik itu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan untung sebelum cukai 34.1 peratus kepada RM308.710 juta daripada RM230.208 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif, Somsak Chayapong, berkata untung bersih menyusut sedikit, 4.9 peratus kepada RM260.626 juta berbanding RM273.990 juta tahun sebelumnya disebabkan tidak mengambil kira aset cukai tertunda.

"Secara keseluruhannya ia adalah prestasi membanggakan (terutama dengan) mengambil kira tempoh pulih pantas operasi di Thailand yang tergendala disebabkan banjir besar pada 2011," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi tahun kewangan 2013 F&N Holdings di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi, Soon Wing Chong.

Sumbangan minuman ringan

Somsak berkata, prestasi syarikat yang membanggakan itu dicapai susulan prestasi kukuh yang dinikmati unit minuman ringan yang mencatat peningkatan jualan 7.1 peratus, selain sumbangan operasi produk tenusu pasca banjir Thailand yang mencatat pertumbuhan 39.6 peratus.

Disokong jualan lebih tinggi bahagian minuman ringan, yang juga adalah produk terlaris F&N Holdings menyumbang pendapatan RM1.46 bilion dalam tahun dikaji berbanding RM1.36 bilion tahun sebelumnya.

Ia disusuli produk tenusu Thailand yang mencatat pendapatan RM1.08 bilion berbanding RM770.6 juta tahun lalu.

Operasi produk tenusu Malaysia katanya, mencatat penyusutan 6.3 peratus kepada RM974.4 juta daripada RM1.04 juta setahun lalu disebabkan persaingan sengit yang berterusan bagi harga dagangan.

Bagaimanapun, bahagian itu mencatat keuntungan operasi lebih tinggi kerana caj tambahan ketika peralihan operasi ke Pulau Indah dalam tempoh sama tahun lalu, katanya.

Cabaran mendatang

Somsak berkata, cabaran mendatang bagi F&N Holdings, termasuk impak semakan semula pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Thailand oleh kerajaan masing-masing disebabkan permintaan domestik yang lebih perlahan dan pendapatan eksport lebih rendah, selain jangkaan penurunan kuasa membeli pengguna dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menyentuh perkembangan segmen perniagaan hartanah syarikat, Wing Chong berkata, pihaknya sudah menerima kelulusan bagi pelan induk untuk projek hartanah bersepadu dikenali sebagai Section 13 F&N di Petaling Jaya.

Bahagian hartanah kumpulan itu kini dalam proses menukar status tanah dan pajakan lanjutan yang dijangka siap akhir tahun ini.

No comments:

Post a Comment