GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

GST: Mengurus reaksi rakyat



Apakah reaksi rakyat Malaysia sebaik-baik sahaja pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Saya difahamkan, sebaik-baik sahaja pembentangan Bajet 2014, terdapat rakyat kita yang pergi membeli gula dengan jumlah yang banyak. Ini kerana keesokan harinya, harga gula meningkat ekoran kerajaan menghapuskan subsidi gula.

Reaksi sebegini bukanlah sesuatu yang baru yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Kita sering melihat kenderaan berpusu-pusu beratur di stesen minyak sebaik-baik sahaja kerajaan mengumumkan rasionalisasi subsidi petrol.

Rakyat Malaysia sanggup beratur menunggu sebegitu lama hanya kerana ingin membeli minyak dengan harga yang lebih murah. Ini reaksi yang ditunjukkan oleh rakyat kita.

Bagaimana pula dengan reaksi rakyat Malaysia apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015? Saya menjangkakan pelbagai reaksi akan ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

Antara jangkaan saya ialah GST pastinya akan dijadikan isu politik seperti mana yang berlaku di negara-negara lain. Sejak sekian lama, GST ditangguhkan kerana terdapat desakan politik yang boleh memberi persepsi negatif kepada rakyat.

GST bukanlah satu jenis cukai yang baharu. Pada masa ini pun, negara kita melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan. Namun terdapat beberapa kelemahan seperti yang diumumkan oleh Najib, misalnya kesan cukai berganda ke atas pengguna, isu perpindahan harga dan ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport.

Malahan, GST mampu mengurangkan risiko pengurangan hasil kerajaan ekoran kelemahan sistem pencukaian yang sedia ada. Ini kerana setiap daripada kita memerlukan barangan dan perkhidmatan saban hari. Dengan melaksanakan GST, hasil kerajaan akan dapat diperluaskan.

Persoalan yang memberi reaksi negatif kepada rakyat ialah, adakah ia bakal membebankan orang awam? Inilah persoalan utama yang perlu diperjelaskan oleh pihak-pihak berkenaan kepada rakyat dalam tempoh 17 bulan ini.

Saya yakin pihak kerajaan sudah bersedia untuk memberi penerangan sepenuhnya kepada rakyat menggunakan pelbagai medium komunikasi terutamanya kesannya ke atas beban rakyat.

Persoalan utama ini pada asasnya telah dijawab oleh beberapa pakar pencukaian dengan menggunakan pendekatan pengiraan. Dalam sistem pencukaian GST, pihak peniaga yang membeli barangan bertujuan untuk menjual kepada pengguna akhir layak menuntut input tax credit.

Bagaimanapun, terdapat kes penipuan di negara lain dalam tuntutan input tax credit dalam kalangan peniaga. Ini merupakan antara cabaran pihak penguat kuasa bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar layak menuntut input tax credit.

Selain itu, meskipun harga yang dijual kepada pengguna akhir berkemungkinan lebih murah tetapi tidak mustahil penjual menjual dengan harga yang sama sebagaimana harga sebelum GST dilaksanakan.

Maka, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 menjadi mekanisme penting dalam mendakwa pihak yang mengaut keuntungan secara berlebihan.

Sudah tentu, rakyat mengharapkan pihak berkenaan yang menguatkuasakan akta ini akan lebih aktif dan agresif bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan pada tahap yang sepatutnya.

Najib juga telah mengumumkan bahawa terdapat barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan GST. Barangan asas dikecualikan GST. Ini sesuatu yang cukup menarik kerana dibimbangi dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum GST dilaksanakan, pengguna akan berpusu-pusu membeli barangan dalam jumlah yang banyak kononnya bagi mengelak GST sebagaimana yang berlaku apabila kerajaan merasionalisasikan subsidi minyak dan gula.

Akibatnya, tiga hingga empat bulan selepas pelaksanaan GST, perbelanjaan pengguna berkurangan dan ini tidak baik untuk ekonomi negara. Oleh itu, kerajaan perlu melipat gandakan penerangan kepada rakyat berkenaan dengan harga barangan dan perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

Jika boleh dalam tempoh 17 bulan ini, setiap hari rakyat dihidangkan maklumat mengenai GST kerana masih ramai rakyat Malaysia yang kurang faham mengenai GST. Sebagai contoh, adakah seseorang pembeli itu dikenakan GST sekiranya dia membeli sebidang tanah daripada orang kampung?

Begitu juga, rakyat ingin mengetahui siapakah yang layak memohon lesen GST? Ini kerana dibimbangi ada yang mengambil kesempatan mengenakan GST ke atas pengguna akhir.

Dengan pelaksanaan GST, kadar cukai pendapatan individu diturunkan di antara satu hingga tiga peratus. Pengurangan ini akan meningkatkan lebihan wang rakyat. Ini sedikit sebanyak boleh memberi kelegaan kepada rakyat apabila GST dilaksanakan.

Meskipun GST disifatkan sebagai sistem pencukaian yang lebih adil dan saksama berbanding sistem pencukaian semasa yang diguna pakai oleh Malaysia, namun tempoh 17 bulan bermula sekarang sehinggalah 1 April 2015 adalah tempoh yang cukup kritikal bagi kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat secara telus dan terperinci berkenaan dengan sistem pencukaian GST.

Malahan, tempoh 17 bulan ini juga cukup penting buat ahli-ahli perniagaan bersedia untuk bersama-sama dengan kerajaan melaksanakan GST. Dengan kerjasama dan persediaan yang rapi serta pemahaman yang jelas dalam kalangan rakyat, peniaga dan kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO), reaksi negatif akan dapat diuruskan dengan baik.

Seterusnya, apabila dilaksanakan kelak, ia bakal memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment