GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

Restoran KFC perintis ciri mesra alam


Publication: BH
Date of publication: Nov 12, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 003
Byline / Author: Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, pemegang francais restoran KFC di Malaysia, bakal memperkenalkan restoran mesra alam pertama di Malaysia pada pertengahan tahun depan, sekali gus menjadi perintis kepada konsep itu di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Zaki Zahid, berkata restoran yang akan dibuka di Nilai, Negeri Sembilan itu, sebahagian daripada pelan pengembangan perniagaan di pasaran tempatan.

"Pembukaan cawangan mesra alam di Nilai, Negeri Sembilan, masih pada peringkat awal, namun kami menjangkakan ia dibuka pada Julai tahun depan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 juta hingga RM5 juta," katanya selepas majlis memeterai perjanjian pembekalan skuter mesra alam bersama Eclimo Sdn Bhd di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Eclimo, Liew Chung Peng dan Datuk Mohd Ariff Amran serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus.

Guna skuter elektrik

Mengulas lanjut, Ahmad Zaki berkata, QSR Brands akan memperluaskan penggunaan teknologi mesra alam dalam perkhidmatan penghantarannya menerusi cawangan KFC Delivery dengan menggunakan skuter elektrik.

"Setakat ini, sebanyak 41 restoran KFC Delivery di sekitar Lembah Klang sudah menggunakan skuter elektrik dan sembilan restoran lagi akan menggunakan motosikal mesra alam ini menjelang akhir tahun, sebelum ia diperluaskan di negeri lain," katanya.

Beliau berkata, menerusi langkah pembaharuan perniagaan syarikat itu, QSR Brands menjangkakan pertumbuhan pendapatan melebihi lapan peratus khusus untuk produk KFC tahun depan.

Lonjak jualan 15 peratus

"Bagi tahun ini, kami menjangkakan lonjakan jualan sekitar 15 peratus daripada RM3.6 juta yang dicatat tahun lalu," katanya.

Mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Ahmad Zaki berkata, QSR menjangkakan pengenalan cukai itu pada April 2015 tidak akan memberikan impak besar kepada syarikat.

"Saya tidak nampak ia akan memberi kesan kepada kos operasi dan harga makanan KFC," katanya.

Terdahulu, perjanjian yang dimeterai dengan Eclimo menyaksikan syarikat pengeluar motosikal elektrik berpangkalan di Pulau Pinang itu menyediakan 50 skuter elektrik 100 peratus mesra alam kepada KFC bagi operasi penghantaran di sekitar Lembah Klang.

Ia sebagai langkah menjadikan QSR Brands antara pemain industri yang menyertai operasi mesra alam di negara ini, khususnya bagi segmen makanan dan minuman (F&B).

Sementara itu, Chung Peng berkata, pihaknya akan menjadi penyedia pengangkutan kepada kumpulan sama bagi restoran Pizza Hut selain mengintai peluang bekerjasama dengan pengendali francais yang mempunyai tawaran perkhidmatan penghantaran makanan di Malaysia.

"Kita akan sediakan 50 skuter untuk 41 restoran KFC sedia ada selain menghantar 30 unit kepada lima atau enam cawangan francais berkenaan di Pulau Pinang dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment