GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

Kurang jurang cukai mantap fiskal negara


Publication: BH
Date of publication: Nov 13, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 008

Kerajaan perlu berusaha untuk mengurangkan jurang cukai iaitu jumlah cukai dipungut berbanding jumlah cukai yang sepatutnya dipungut dalam usaha memantapkan lagi kedudukan fiskal negara.

Pemimpin Cukai Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng, penyusunan semula cukai secara berstruktur termasuk pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah langkah yang baik dalam meningkatkan pendapatan negara.

Namun begitu, langkah itu, jelas beliau, dijangka masih belum mencukupi untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara untuk tempoh jangka panjang.

Tingkat pendapatan negara

Katanya, penstrukturan semula cukai adalah sebahagian daripada keseluruhan inisiatif yang perlu diambil kerajaan dalam meningkatkan pendapatan negara.

Dengan mengurangkan jurang cukai, jelasnya, kerajaan berupaya menjana pendapatan tambahan setiap tahun.

Ketika ini, Yee berkata, jurang cukai negara adalah sekitar 20 peratus berbanding negara maju iaitu antara 10 hingga 15 peratus dan negara sedang membangun sebanyak 30 peratus.

"Jika kerajaan berjaya mengurangkan jurang cukai kepada sekitar antara 10 hingga 15 peratus, kerajaan berupaya menjana pendapatan tambahan sehingga RM6 bilion," katanya pada seminar tahunan mengenai bajet, Deloitte TaxMax di Petaling Jaya, semalam.

Selain itu, Yee berkata, kerajaan juga perlu terus berusaha dalam mengurangkan perbelanjaan awam serta rasionalisasi subsidi bagi memastikan kemampanan kedudukan fiskal negara untuk jangka panjang.

Pembelanjaan berhemat

Beliau berkata, negara ini juga berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM9 bilion jika kerajaan dapat mengehadkan kebocoran dan pembaziran dalam pengurusannya serta mengamalkan perbelanjaan berhemat.

"Secara keseluruhannya, kita mempunyai pelbagai strategi dalam meningkatkan pendapatan negara termasuk mengurangkan subsidi dalam usaha mengurangkan jurang fiskal defisit negara," katanya.

Selain itu, Yee berkata, kerajaan negara ini juga perlu mempunyai pelan hala tuju yang jelas dalam mengurangkan perbelanjaannya merentasi semua jabatan yang mana secara tidak langsung memberi keyakinan kepada pelabur asing mengenai komitmen kerajaan dalam mengurangkan perbelanjaan awam.

Beliau berkata, kerajaan boleh mengikut langkah yang diambil kerajaan United Kingdom (UK) dengan mempunyai pelan hala tuju yang jelas dalam pengurangan perbelanjaan awam secara beransur-ansur membabitkan keseluruhan jabatan.

Katanya, kerajaan UK menetapkan had perbelanjaan bagi setiap jabatan kerajaan setiap tahun dan had itu akan dikurangkan dari tahun ke tahun tahun.

No comments:

Post a Comment