GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

Revolusi sistem percukaian


Publication: HM
Date of publication: Nov 11, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 048
Byline / Author: Oleh Mohamed Nadzir bin Idris

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dalam Belanjawan 2014, cukai barangan dan perkhidmatan (CBP) akan dilaksanakan dan berkuat kuasa pada 1 April 2015 untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

CBP atau lebih dikenali sebagai GST (Goods and Services Tax) sejenis cukai ke atas nilai tambah dikenakan untuk pembekalan barang dan perkhidmatan di Malaysia. Di beberapa negara, CBP juga dikenali sebagai cukai nilai ditambah (VAT).

Hari ini, lebih daripada 160 negara termasuk negara Kesatuan Eropah dan Asia seperti Sri Lanka, Singapura dan China melaksanakan percukaian dalam bentuk ini. 90 peratus daripada penduduk dunia tinggal di negara yang melaksanakan VAT atau GST.

Secara asasnya, GST tidak seharusnya membebankan kerana CBP bukanlah cukai tambahan, tetapi alternatif untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai Sales & Services Tax (SST) sedia ada yang diperkenalkan sejak 1972 dan kadar GST dicadangkan 6 peratus bersamaan kadar terendah SST 6 peratus yang kadar maksimumnya 10 peratus.

Sesetengah barangan seharusnya lebih murah kerana penurunan kadar 4 peratus terbabit. Selain itu, bekalan barangan keperluan seperti ternakan, perikanan, pertanian serta makanan asas GST dikenakan berkadar sifar.

Bekalan perkhidmatan asas pula seperti pengangkutan awam, perubatan, pelajaran, tol lebuh raya serta bekalan premis kediaman dan tanah untuk pertanian dan umum dikecualikan GST.

GST dibuktikan sebagai satu sistem percukaian lebih baik kerana ia lebih berkesan, cekap, telus dan mesra perniagaan dan boleh merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing dalam pasaran global.

Revolusi terhadap sistem percukaian di Malaysia memberi kesan penting untuk menggantikan SST sedia ada dalam usaha mengatasi kelemahan yang wujud seperti cukai berperingkat, bertindih, pemindahan harga dan nilai pindah, tiada pelepasan lengkap barang dieksport, menggalakkan integrasi menegak, kerenah birokrasi pentadbiran, isu klasifikasi dan lain-lain.

Di dalam sistem GST, bagi bekalan bercukai, cukai dikenakan pada setiap peringkat urus niaga bermula daripada pembekal, pengilang sehingga kepada peruncit. GST dikenakan 6 peratus daripada nilai barang atau perkhidmatan dibekalkan.

Pembekal atau penjual yang mempunyai nilai jualan barang atau perkhidmatan bercukai dibekal melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan, diwajibkan berdaftar untuk mengutip GST yang ditetapkan.

GST yang dibayar peniaga juga dikenali sebagai 'kredit cukai input' bukannya satu kos perniagaan kerana ia boleh ditolak daripada GST dipungut peniaga dikenali sebagai 'cukai output'.

Jika jumlah cukai output melebihi cukai input dalam tempoh bercukai yang berkaitan, perbezaan itu hendaklah diremitkan kepada kerajaan. Jika cukai input lebih daripada cukai output, perbezaan boleh dituntut daripada kerajaan.

Bagaimanapun, tuntutan cukai input hanya dibenarkan jika peniaga membekalkan barang atau perkhidmatan berkadar standard 6 peratus atau kadar sifar dan tidak untuk barangan atau perkhidmatan dikecualikan cukai.

Penulis ialah Pengarah Eksekutif AFTAAS Taxation Services Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment