ARKIB : 11/11/2013
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my
RAUB 10 Nov. - Rakyat perlu memberikan kepercayaan kepada kerajaan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tanpa prasangka buruk demi kepentingan nasional.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin (gambar) berkata, oleh kerana kerajaan telah membuat kajian secara terperinci sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang berkaitan ekonomi dan kepentingan negara.
Tegasnya, rakyat jangan takut atau terkeliru dengan tohmahan serta dakwaan pembangkang yang sentiasa mencari ruang untuk memperlekehkan apa juga dasar kerajaan yang dipilih rakyat.
''GST tidak akan membebankan rakyat kerana telah dikaji dan diteliti pelbagai sudut oleh pakar ekonomi sebelum sistem itu dilaksanakan kelak.
''Jumlah enam peratus GST yang akan dikenakan itu tidak membebankan rakyat berbanding di negara lain yang lebih tinggi termasuk di rantau ASEAN," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dong di sini semalam.
Beliau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong menegaskan, dakwaan kononnya GST membebankan rakyat terutamanya golongan miskin dan kawasan luar bandar adalah persepsi negatif pembangkang.
"Tidak semua barang keperluan dikenakan GST, tetapi hanya pada barang-barang terpilih, malah GST sendiri sudah dilaksanakan di 165 buah negara," jelasnya.
Shahiruddin berkata, kadar enam peratus adalah sesuai dengan keadaan semasa di negara ini iaitu tahap kemajuan ekonominya berada di landasan betul.
''Penerangan yang secukupnya perlu diadakan mulai sekarang bagi membolehkan rakyat memahami kepentingan GST dalam mengurus ekonomi negara.
"Jadilah rakyat yang patriotik dan bijaksana tanpa mudah terpedaya dengan manipulasi yang dimainkan oleh pembangkang mengenai sistem GST itu, ' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20131111/wp_01/Rakyat-perlu-percaya--kerajaan#ixzz2kZiOkwvZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment