GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 14, 2013

Fomca: GST mampu elak ketirisan


WARTAWAN SINAR HARIAN
12 November 2013
Fomca berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang
mengambil kesempatan menaikkan harga barang.- Gambar hiasan
SHAH ALAM – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) percaya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mampu mengelak ketirisan dalam perbelanjaan jabatan kerajaan atau syarikat.

Timbalan Presidennya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, GST mengesan penyelewengan dan juga pembaziran dalam perbelanjaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

“Saya nampak GST ini memberi kesan yang positif kerana cukai ini boleh mengesan amalan tidak baik dalam urus niaga. Kalau dahulu kita beli barang, contohnya jam, dengan harga RM3,000 menggunakan resit. Cara itu tidak boleh dikesan.

“Jika sistem GST dilaksanakan, tidak akan ada ketirisan dalam sistem perbelanjaan hasil kerajaan. Ini kerana harga sebenar sesuatu barangan dapat dikesan dengan mudah. Saya juga yakin GST dapat mengubah amalan perolehan awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerajaan seharusnya melaksanakan GST seawal mungkin untuk beri manfaat kepada negara dan rakyat.

“Saya lihat pelaksana GST dari sudut yang baik, iaitu kepada individu atau syarikat yang mengelak membayar cukai sebelum terpaksa menunaikan kewajipan mereka sama seperti masyarakat lain.

“Justeru, saya yakin GST adalah sistem cukai yang lebih adil,” katanya.

Muhammad Shaani berkata, Fomca menyokong penuh pelaksanaan GST, tetapi berharap kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara untuk memastikan kebajikan pengguna terjamin.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Kerajaan harus menyediakan panduan pembeli untuk memaklumkan kepada pengguna tentang kesan perubahan harga yang sebenar apabila barang atau perkhidmatan tersebut dikenakan GST.

“Perlu diwujudkan pusat aduan bagi membolehkan pengguna membuat aduan terhadap peniaga yang meletakkan harga barang atau perkhidmatan melebihi daripada paras harga yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan bagi mengelak peniaga mengaut keuntungan berlebihan.

Fomca mengesyorkan Akta Persaingan diluluskan dengan segera untuk memastikan persaingan sihat dalam pasaran yang akan menguntungkan pengguna, selain satu jaringan sosial telus dan komprehensif disediakan untuk memastikan masyarakat miskin terbela.

No comments:

Post a Comment