GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, April 23, 2014

TPPA perlu kajian mendalam - Tun Daim


Oleh Fauzi Jaafar
ekonomi@utusan.com.my
Daim Zainuddin bercakap pada Majlis Bicara Petang bertemakan "Ekonomi Bandar Malaysia.
Adakah Bandar Melayu?", di MIDA Plaza Sentral, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR 22 April - Kerajaan perlu menjalankan perincian yang mendalam tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) supaya tidak menjejaskan polisi-polisi berhubung hak bumiputera, industri kecil dan sederhana (IKS) dan lain-lain, kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, buat masa ini TPPA tersebut menampakkan masalah seperti yang berlaku kepada Jepun, Korea Selatan dan juga Australia berhubung beberapa sektor di negara tersebut yang perlu diliberalisasi atas nama perjanjian tersebut.

"TPPA ini kelihatan banyak mengundang masalah. Dengan Jepun juga timbul masalah, begitu juga di Korea Selatan. Di Australia pula. Yang paling teruk ialah kes Philip Morris, apabila syarikat itu menyaman kerajaan Australia atas pembentukan undang-undang ba­haru tentang pembungkusan rokok," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bicara Petang yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Pada Bicara Petang kali ini, Daim membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Ekonomi Bandar Malaysia, Adakah Bandar Melayu' di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud; Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Biro SME Perdasama, Datuk Norizan Bakar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang TPPA yang mungkin dibangkitkan pada kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Malaysia pada 26 hingga 28 April ini.

Mengulas lanjut tentang TPPA, Daim berkata, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pernah bertanya kepadanya tentang kesan perjanjian itu kepada IKS dan bumiputera dan beliau berpendapat kajian mendalam amat diperlukan dan pada masa yang sama polisi negara perlu dikekalkan.

Berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan, bekas Menteri Kewangan itu berkata, ia adalah satu bentuk cukai yang adil iaitu hanya dikenakan kepada mereka yang berbelanja.

"GST bukan perkara baharu. masa saya jadi Menteri Kewangan, kerajaan ada cadangan untuk melaksanakannya. Dan pada masa ini banyak negara telah melaksanakannya,'' kata beliau lagi.

Beliau menambah, dalam me­lak­sanakan GST ini biarlah rakyat mendapat penerangan sewajarnya dan bersetuju sebelum melaksanakannya.

Daim juga meminta kerajaan mengkaji peningkatan hutang isi rumah yang disifatkan pada tahap membimbangkan.

"Kerajaan kena kaji kenapa rak­yat Malaysia berhutang. Mesti ada sebab. Adalah mustahil rakyat suka berhutang," katanya lagi.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment