GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, April 23, 2014

Pasaran hartanah kekal stabil


Publication: BH
Date of publication: Apr 23, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Zuraidah Mohamed

Pasaran hartanah Malaysia dijangkakan kekal stabil tahun ini dengan kediaman jenis mampu milik menjadi pemacu kepada pertumbuhan aktiviti dalam pasaran itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata permintaan bagi subsektor itu dijangka berterusan hingga akhir tahun ini, didorong pelancaran lebih banyak program skim perumahan mampu milik di seluruh negara.

Secara keseluruhan, katanya pasaran hartanah dijangka meneruskan pertumbuhan sederhana tahun ini susulan pelbagai langkah diambil kerajaan bagi membendung aktiviti spekulasi keterlaluan yang melonjakkan harganya.

Pasaran meningkat

"Pasaran hartanah akan meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara yang dijangkakan berkembang pada kadar lebih kukuh antara lima hingga 5.5 peratus tahun ini.

"Pelbagai langkah diambil kerajaan dalam memastikan harga rumah tidak meningkat, termasuk dengan menaikkan kadar Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) dan pelupusan Skim Berfaedah Pemaju (DIBS). Semua usaha ini bagi memastikan harga rumah kekal stabil sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Laporan Pasaran Harta 2013 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Kajang, Selangor, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Penilaian, Datuk Abd Hamid Abu Bakar dan Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Khuzaimah Abdullah.

Katanya, sejak 2006, harga rumah di Malaysia meningkat secara purata sebanyak enam peratus dan ini menunjukkan permintaan terhadap rumah kediaman meningkat setiap tahun.

Mengikut Laporan Pasaran Harta 2013, pasaran hartanah mencatatkan penurunan sebanyak 10.9 peratus dari segi bilangan transaksi tahun lalu, dengan 381,130 transaksi dibuat berbanding 427,520 pada 2012.

Bagaimanapun, nilai transaksi meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada RM152.37 bilion berbanding RM142.84 bilion pada tahun sebelumnya.

Subsektor kediaman katanya, terus menerajui aktiviti pasaran hartanah dengan menguasai sebanyak 64.6 peratus.

"Kadar faedah yang rendah dengan kadar asas pinjaman (BLR) bank perdagangan kekal pada 6.53 peratus dan purata wajaran kadar pinjaman (ALR) kepada 5.4 peratus terus menyokong pasaran hartanah domestik.

"Strategi awal Bank Negara Malaysia mengekalkan daya tahan sektor isi rumah melalui permohonan pinjaman kepada nisbah 70 peratus pinjaman ke atas nilai bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya, serta garis panduan tanggungjawab pembiayaan telah memberi kesan kepada aktiviti pasaran perumahan," katanya.

Menurut laporan itu lagi, kelulusan perumahan berkurangan 22.5 peratus berbanding 47.4 peratus pada 2012.

No comments:

Post a Comment