Cukai merupakan salah satu perkataan atau perkara yang cukup sensitif di dalam sesebuah masyarakat di mana-mana negara termasuklah di Malaysia. Perkataan cukai pada maksud awam adalah suatu kadar caj yang dikenakan oleh kerajaan terhadap rakyat yang memiliki suatu hasil di dalam negara. Cukai sering kali diibaratkan sebagai suatu bebanan dan tekanan yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyatnya.
Biarpun cukai mempunyai tahap sensitivitinya tersendiri di dalam masyarakat, namun ia tidak pernah dihapuskan atau dimansuhkan oleh mana-mana pemerintah yang memegang tampuk kerajaan sejak dahulu hingga kini.
Rakyat kebanyakannya kekal taat kepada tatacara berkerajaan dengan memberikan sumbangan cukai mereka kepada pemerintah tanpa banyak soal bicara selagi ianya munasabah serta diuruskan dengan cara yang teratur, di samping untuk mengelak masalah litigasi mendatang. Secara umumnya, penerimaan rakyat terhadap sistem cukai masih diragui walaupun mereka kelihatan patuh terhadap obligasinya.
Di dalam sejarah ekonomi Islam, terdapat tiga jenis cukai yang dikenakan ke atas masyarakat bukan Islam, iaitu Kharaj, Jizyah dan Usyur. Kharaj bermaksud cukai hasil tanah (pertanian) yang dikenakan ke atas orang bukan Islam.
Jizyah pula ialah cukai yang dikenakan ke atas individu bukan Islam yang berlindung di negara Islam,manakala Usyur ialah cukai perdagangan yang dikenakan kepada kapal-kapal milik orang bukan Islam yang berlabuh di negara Islam.
Ketiga-tiga jenis cukai terhadap masyarakat bukan Islam ini telah diseimbangkan pula dengan kewajipan berzakat terhadap masyarakat Muslim.Asas pengertian Kharaj, Jizyah, Usyur danZakat secara amnya adalah pembahagian sumber untuk pembinaan masyarakat dan negara yang seimbang.
Di dalam situasi di Malaysia pada hari ini, cukai menjadi elemen utama pendapatan negara untuk menampung segala keperluan ekonomi bagi 28 juta rakyatnya. Menurut buku Laporan Ekonomi 2012/2013 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), pada tahun 2012 hasil cukai membentuk hampir 73.6% atau RM152,493 bilion daripada keseluruhan pendapatan negara yang berjumlah RM207,246 bilion.
Kerajaan pada ketika ini sedang membuat persedian rapi bagi melaksanakan pelan tranformasi terhadap sistem percukaian negara. Di dalam pelan tersebut, Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST akan diperkenalkan untuk menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).
Menurut mekanisma GST seperti yang dinyatakan di dalam Rang Undang-Undang GST 2009, terdapat tiga kategori kadar GST iaitu Kadar Standard (Standard Rated), Kadar Sifar (Zero Rated) dan dikecualikan GST (Exempted).
Menurut Rang Undang-Undang itu juga, kadar standard yang dicadangkan oleh kerajaan adalah 4% ke atas harga barang atau perkhidmatan yang ditakrifkan sebagai pembekalan. Bagaimanapun, pembekalan barangan asas keperluan isi rumah seperti produk pertanian, bekalan ternakan, bahan asas masakan, dan lain-lain lagi, akan diletakkan di dalam kategori kadar sifar (0%).
Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan,perkhidmatan kewangan serta caj lebuh raya, akan diletakkan di dalam kategori dikecualikan GST.
Sehingga tahun 2009, GST telah pun dilaksanakan di 146 buah negara,di mana Perancis menjadi negara yang pertama melaksanakannya pada 1954. Di kalangan negara-negara Asean pula, Indonesia adalah negara yang terawal melaksanakan GST iaitu pada 1984 dan diikuti oleh negara-negara yang lain kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar.Cadangan mengenai pelaksanaan GST di Malaysia mula diberitakan sejak Oktober 1988.
Ia pertama kali disebut di dalam Pembentangan Belanjawan 1989 olehMenteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, Tun Daim Zainuddin. Seterusnya, keperluan mewujudkannya dinyatakan semula pada pembentangan Belanjawan 1993, 2005 dan 2010 oleh menteri kewangan pada ketika itu, iaitu DatukSeri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak.
Usaha yang dijalankan oleh kerajaan ini sememangnya harus dipuji.Namun dalam konteks semasa, apakah GST relevan untuk dilaksanakan sekarang sedangkan masalah ketirisan masih lagi membelenggu ekonomi negara.
Menjawab persoalan ini, terdapat tiga penyataan masalah yang harus diteliti dan dikaji dengan teliti oleh pihak kerajaan.Pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST.
Kedua,bilakah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST dan yang ketiga, adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi antara persepsi dan realiti.
Merujuk kepada masalah pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST, Emran dan Stiglitz (2005) mencadangkan bahawa menggantikan VAT bagi cukai yang lebih luas mungkin untuk mengurangkan dan bukannya memperbaiki kebajikan kerana negara membangun seperti Malaysia mempunyai sektor tidak formal yang besar.
Bagi masalah kedua pula, menyentuh mengenai masa sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST, perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuklah penyediaan sistem terancang serta reformasi sikap dalam pengurusan ekonomi dan politik dalam usaha mengurangkan kadar penyelewengan dan rasuah dalam negara yang akan membawa kepada kegagalan pelaksanaannya.
Masalah ketiga pula mengenai adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi, secara realitinya – menurut Singh (2007),pengenalan GST boleh membawa peningkatan satu masa dalam kos sara hidup,kebarangkalian membawa kepada inflasi yang tidak tinggi.
GST boleh membawa kepada peningkatan dalam harga pengguna pada peringkat awal pelaksanaan tetapi GST tidak akan mempunyai kesan besar ke atas inflasi.James dan Zheshi (2004) menegaskan bahawa apabila VAT diperkenalkan di China pada 1994, ia tidak menyebabkan inflasi apa-apa berbanding pembaharuan cukai pada 1994, perubahan yang dicadangkan VAT jauh kurang kompleks.
Jika dikaji dan dibandingkan status ekonomi negara malaysia dengan negara-negara lain yang melaksanakan GST ia jauh menunjukan yang status ekonomi malaysia jauh terkebelakang berbanding dengan negara-negara lain yang lebih membangun seperti Singapura mampu menyerap cukai ini kerana pendapatan yang lebih tinggi.
Malaysia mestilah terlebih dahulu mencapai status “berpendapatan tinggi” atau high income seperti yang diuar-uar perdana menteri. Meningkatkan kadar cukai tanpa meningkatkan pendapatan rakyat hanya membebankan rakyat.
Bercakap tentang GST ini ia sememangnya satu benda yang sangat penting demi kelansungan ekonomi sesebuah negara dan akhirnya saya berpendapat bahawa kerajaan perlu menangguhkan dahulu pelaksanaan dan mengkaji semula pelaksanaan GST ini sehingga segala ketirisan dan keborosan yang berlaku dalam struktur ekonomi negara ini dapat di atasi dengan berkesan serta pendapatan rakyat dapat ditingkatkan dengan tidak terlalu banyak jurang antara golongan yang berpendapatan tinggi,sederhana dan rendah sehingga membebankan golongan yang berpendapatan rendah. – 22 April, 2014.
* Penulis daripada Kulliyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment