GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, April 22, 2014

Pelaksanaan GST boleh ditangguhkan


ARKIB : 20/04/2014

KUALA LUMPUR 19 April - Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh ditangguhkan jika keadaan tidak kondusif walaupun tarikh pelaksanaannya telah dijadualkan pada April 2015.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan masih lagi mengkaji dan melihat sama ada sistem cukai tersebut sesuai atau tidak untuk diperkenalkan.

"Persoalan mengenai GST ini ialah sama ada mahu melaksanakannya atau tidak, kerajaan tetapkan tarikh pada 1 April 2015, tetapi sebelum sampai tarikh tersebut macam-macam boleh berlaku. Kalau sekiranya keadaan pada waktu GST ini hendak dilaksanakan tidak kondusif, saya percaya rakyat akan beri pandangan.

"Malah saya sendiri sebagai pengguna akan beri pandangan bahawa ia belum sesuai dilaksanakan dan saya percaya kerajaan akan menangguhkannya," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razali yang juga Pengerusi Biro Pengajian Tinggi UMNO berkata, kadar enam peratus yang ditetapkan oleh kerajaan juga boleh dikurangkan jika keadaan ekonomi berada di tahap yang memberangsangkan.

"Ketika ini keadaan ekonomi global agak lembap, bukan di negara kita sahaja dan kerana itu kerajaan meletakkan kadar cukai kepada enam peratus. Namun jika tiba masa untuk laksanakannya, ekonomi negara berada dalam keadaan baik, kadar itu boleh dikurangkan," katanya.

Mengulas mengenai Program Sembang Santai Anak Muda mengenai GST dan TPPA yang dianjurkan oleh Biro IPT UMNO, Razali berkata, pihaknya amat menggalakkan perbincangan ilmiah dalam kalangan masyarakat berbanding mengajak berdemonstrasi di jalan raya.

Menerusi program satu hari itu, katanya, mahasiswa berpeluang bertanya apa sahaja soalan berkaitan GST dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment