GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, April 23, 2014

Kerajaan perlu selesai masalah ekonomi untuk majukan Melayu, kata Daim

APRIL 23, 2014

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin (gambar) menggesa Putrajaya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan pembangunan demi memajukan kehidupan kaum Melayu.

Beliau yang memegang jawatan itu dari 1984 hingga 1991 semasa zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu melakukan penyelidikan dan membetulkan semula dasar supaya ekonomi negara dapat dimajukan.

"Kerajaan sepatutnya mencari cara serta jalan penyelesaian untuk menangani masalah ekonomi di negara ini.

"Kerajaan juga harus mengambil kira keperluan kita sebagai orang Melayu daripada segi ekonomi dan pembangunan demi memajukan kehidupan bangsa Melayu," katanya dipetik daripada portal Sinar Harian dalam Program Bicara Petang Bersama Tun Daim Zainuddin petang semalam.

Menurut Daim, beliau bukanlah bukan anti-kerajaan ketika mengulas tentang kepincangan menteri kewangan dalam mentabdir urus sistem perbelanjaan negara.

"Saya bukan bermusuh dengan kerajaan, saya cuma anti dengan dasar kerajaan yang sudah lompong dan tidak betul.

"Ini isu yang serius, rakyat harus tahu bahawa dasar yang diamalkan kerajaan tidak memberi faedah serta manfaat kepada rakyat, malah ianya membebankan rakyat daripada segi peningkatan perbelanjaan ekonomi seharian," katanya seperti dilapor portal berkenaan.

Daim turut menggesa kerajaan memenuhkan portfolio menteri kewangan bagi memastikan sistem kewangan dan perbelanjaan negara berjalan dengan lebih baik.

Menurut Daim, beliau yakin aliran perbelanjaan negara dapat diurus dan ditadbir dengan baik sekiranya portfolio menteri kewangan dipenuhkan.

"Ini adalah isu serius, kerajaan Malaysia berhutang RM600 bilion setahun kerana tidak pandai mengurus sistem kewangan dengan baik, ini menyebabkan belanjawan negara menjadi tinggi dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.

"Sistem kewangan negara perlu dikaji semula, kerajaan harus bijak mengurus dan mentadbir perbelanjaan negara supaya tidak membebankan rakyat," katanya dipetik dari Sinar Harian.

Daim yang juga merupakan seorang peguam berkata, dasar pincang yang diamalkan kerajaan merupakan faktor utama masyarakat mula menyokong Pakatan Rakyat (PR).

"Apabila perbelanjaan harian meningkat, rakyat akan mula rasa terbeban dengan sistem yang diamalkan kerajaan, sebab itulah pihak pembangkang semakin kuat disokong rakyat.

"Kerajaan tidak boleh marah atau tidak puas hati atas keputusan rakyat yang kini semakin berpihak kepada pembangkang, kerana amalan kerajaan masa kini banyak membebankan rakyat," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan pelaksanaan GST yang akan menampakkan kenaikan kos sara hidup dengan mengatakan ia akan memperbaiki ekonomi. – Gambar The Malaysian Insider, 23 April, 2014.Selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal merampas kembali majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak diserang, termasuk daripada bekas pemimpin kanan Umno seperti Dr Mahathir dan Daim kerana dikatakan membebankan rakyat jelata dengan pengurusan ekonomi yang tidak cekap.

Minggu lalu, Najib mempertahankan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan berkata ianya baik untuk ekonomi dan negara tidak boleh bergantung dengan dasar yang begitu populis.

"Misalnya, dunia tahu GST baik untuk ekonomi sesebuah negara, kita semua yakin langkah ke depan adalah melalui GST yang boleh menentukan masa depan ekonomi negara kita dan kesejahteraan rakyat," katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya minggu lalu.

"Tetapi masih ada pihak, kerana politik, yang mengambil platform populis menentang, walhal ini adalah untuk kebaikan rakyat.

"Kita akui tahun pertama mungkin ada kenaikan sedikit, tetapi itu sekali sahaja dan tidak terlalu berat, dan kita ada langkah tertentu untuk tidak terlalu membebankan rakyat, dan yang penting asas kewangan negara akan lebih kukuh dan mantap," katanya.

Perdana menteri berkata, langkah yang diambil kerajaan seperti konsolidasi fiskal, rasionalisasi subsidi, termasuk langkah memperkenal GST perlu dilakukan.

Katanya, langkah ini perlu dilakukan dengan kaedah berhemat dan tidak keterlaluan daripada segi pelaksanaannya, atau dalam erti kata lain tidak membebankan rakyat. – 23 April, 2014.

No comments:

Post a Comment