GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, April 22, 2014

Perhimpunan haram bantah GST: Tiga NGO buat laporan polis


ARKIB : 19/04/2014

KUALA LUMPUR 18 April - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan haram dipercayai anjuran parti pembangkang yang bakal diadakan di ibu negara pada 1 Mei ini.

Tiga NGO terlibat ialah Ikatan Rak­yat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Sosial Muslim Malaysia (Desmma) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.

Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu tidak wajar diadakan kerana hanya me­nimbulkan lebih banyak masalah daripada kebaikan.

Beliau berkata, perkara berhu­bung GST ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara lebih baik dan bukannya dengan mengajak rakyat untuk berhimpun di jalanan.

"Kenapa perlu membawa rakyat ke jalanan untuk membantah GST. Sepatutnya mereka yang terlibat boleh menggunakan Parlimen sebagai tempat meluahkan sebarang rasa tidak puas hati.

"Kalau begini, tiada guna ada ahli Parlimen pembangkang. Sebab itu saya dan rakan-rakan NGO lain membantah himpunan haram se­perti ini yang hanya akan menyusahkan rakyat biasa yang tinggal di ibu negara," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di IPD Sentul, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Desmma, Mohd. Fazil Abdullah berpendapat, perhimpunan haram itu mampu memberikan kesan buruk kepada sosio ekonomi negara khususnya kepada rakyat biasa.

"Perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pembangkang di sekitar ibu kota hanya akan menyusahkan orang ramai, peniaga termasuk pemandu teksi.

"Kita sudah pun kekurangan bilangan pelancong dari luar negara selepas insiden kehilangan pesawat MH370. Jangan ditambah lagi de­ngan perhimpunan jalanan haram yang akan menakutkan pelancong dari luar untuk datang ke sini ," katanya.

Dalam pada itu, Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah pula mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak awal dalam mengekang penganjuran perhimpunan haram yang dirancang itu.

"Saya mahu KDN dan polis bertindak tegas terhadap mereka yang menjadi dalang penganjuran perhimpunan itu.

"Tidak perlu takut untuk bertindak terhadap mereka ini yang jelas hanya mahu memburukkan nama negara di mata dunia dengan meng­adakan perhimpunan jalanan yang pasti mendapat liputan daripada agensi berita dari luar negara," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment