GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, April 22, 2014

Pantau kesan GST


Publication: HM
Date of publication: Apr 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa mulai tahun depan diselaraskan pada kadar enam peratus menjadikan Malaysia antara negara terendah di rantau ini berbanding negara lain yang melaksanakan cukai itu.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kadar cukai berkenaan diputuskan kerajaan selepas melalui pelbagai perbincangan dan kajian menyeluruh.

"Kami sudah melaksanakan kajian menyeluruh berhubung GST ini termasuk dari segi manfaatnya kepada rakyat dan negara. Malah, GST juga dapat menyumbang kepada pertambahan pendapatan dan hasil kerajaan.

"Jadi, ia dapat memperkukuhkan kesejahteraan negara, sekali gus membolehkan rakyat menikmati pertumbuhan sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya kepada media selepas merasmikan Ceramah Perdana GST di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad.

Ahmad Husni berkata, dilaporkan sehingga kini sebanyak 160 negara sudah memperkenalkan GST di negara masing-masing termasuk negara termiskin.

Pada masa sama, beliau berkata, pelaksanaan GST kelak tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah di negara ini.

"Kami membawa konsep kerajaan mengutamakan rakyat dengan berpegang prinsip mengasihani dan menjaga kepentingan rakyat. Ia bermakna, kami tidak mahu pelaksanaan GST nanti akan membabitkan kenaikan harga tinggi.

"Justeru, dalam mesyuarat Kabinet (kelmarin), kami memutuskan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melihat dari sekarang kesan kenaikan harga melalui penguatkuasaan.

"Sekiranya ada syarikat menggunakan kedudukan mereka untuk menaikkan harga, tindakan mesti diambil. Selain itu, bekalan juga mesti mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran dan perkara ini ditegaskan oleh Perdana Menteri kerana kita tidak mahu berlaku kenaikan harga yang membebankan rakyat," katanya.

Sementara itu, Khazali berkata, lebih banyak ceramah akan diadakan bagi menjelaskan pelaksanaan cukai baru berkenaan kepada kakitangan awam di seluruh negara.

"Langkah ini penting kerana penjawat awam dapat membantu kerajaan untuk menjelaskan mengenai kelebihan GST.

"Selain itu, kami akan menggunakan media sosial bagi memberi maklumat berhubung GST kepada rakyat khususnya generasi muda," katanya.

No comments:

Post a Comment