GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, April 10, 2014

Selepas GST lulus, Pakatan ikrar tiada kompromi dengan ketirisan, kata pemimpin PAS

OLEH DIYANA IBRAHIM
APRIL 10, 2014
Lulusnya Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
di Dewan Rakyat Isnin lalu, Pakatan Rakyat (PR) kini berikrar tidak akan
berkrompomi soal ketirisan yang dilakukan kerajaan, kata Ahli
Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan sistem GST tidak berdepan ketirisan memandangkan melalui hasil cukai itu pendapatan negara akan lebih meluas.

Katanya, kegagalan kerajaan menguruskan hasil wang rakyat sehingga menyaksikan tahun demi tahun berlakunya pembaziran yang didedahkan Laporan Audit Negara, maka GST dilihat sebagai jalan singkat.

"Ini memang tidak dapat dinafikan lagi kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah menyatakan walaupun tidak secara terus bahawa dengan pelaksanaan GST dapat menyelamatkan Malaysia daripada muflis," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambahnya, rakyat juga kini mempunyai hak dan suara yang besar untuk hidup di negara yang bebas korupsi memandangkan setiap hasil kutipan GST datangnya daripada mereka.

"Rang undang-undang GST sudah diluluskan ia sudah menjadi perkara lepas dan kini kebimbangan besar kita adalah dengan pelaksanaan sistem cukai yang akan menyaksikan rakyat kelas pertengahan paling terjejas.

"Ini juga bermakna tidak ada perbezaan sama ada anda anak seorang miskin atau hartawan Syed Mokhtar sekalipun, perlu membayar harga yang sama tidak kira berapa umur anda, gaji atau siapa anda," katanya.

Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga menggesa Najib memberi jaminan selepas pelaksanaan GST bermaksud tidak ada lagi skandal seperti penyelewengan Pusat Fidlot Nasional (NFC), Zon Bebas Pelabuhan Klang, (PKFZ ) di mana setiap projek mestilah dilakukan dengan tender terbuka dan tidak bergantung semata-mata daripada sektor minyak dan gas.

"Persoalannya, dapatkah Najib memastikan setiap pengaliran kewangan GST dalam melalui setiap rangkaian pengeluaran dapat dilakukan dengan lebih bertanggungjawab dan telus?

"Kita perlu ingat GST merupakan sistem di mana setiap peringkat akan dikenakan cukai. Adakah benar tidak akan berlaku kenaikan harga?" katanya.

Dakwanya lagi, Najib merupakan satu-satunya perdana menteri di Malaysia yang menyaksikan berlakunya peningkatan defisit negara tidak terkawal iaitu perbelanjaan melebihi pendapatan selama dua penggal pentadbirannya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, hasil kutipan cukai GST Malaysia akan dapat menambah pendapatan sehingga RM27 bilion.

Katanya kerajaan juga memahami mengenai kebajikan rakyat apabila bertindak menurunkan cukai korporat dan juga peribadi selain memberi rebat kepada peniaga berdaftar serta menagihkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Mengulas mengenai hal itu, beliau mengkritik tindakan kerajaan menurunkan cukai korporat dan peribadi kerana ia langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Apakah faedah dan tujuan menurunkan cukai tersebut kerana mengikut peratusan sebanyak 85% rakyat di negara ini tidak dikenakan membayar cukai pendapatan.

"Ini bermaksud betapa ramainya rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan tidak melepasi RM3,000. Jadi untuk siapakah penurunan dua cukai tersebut yang tentu bukan dirasai bagi berpendapatan sederhana," katanya.

Beliau turut membandingkan pelaksanaan cukai GST di China apabila berlakunya ketirisan dalam sistem mereka.

"Saya mengkaji sistem GST mereka. Wujudnya kebocoran penyelewengan namun mereka masih memperoleh hasil pendapatan kerana bilangan rakyatnya yang ramai," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Pakatan tidak pernah menyatakan bahawa sistem GST tidak bagus untuk dilaksanakan.

"Kita tidak kata sistem cukai itu tidak bagus namun bukan pada masa sekarang, ketika gaji rakyat negara ini masih lagi rendah," katanya.

Selain itu, beliau juga berkata Pakatan akan akan terus mendesak kerajaan mengagihkan BR1M kepada rakyat sebanyak RM1,200 secepat mungkin sepertimana dijanjikan Najib semasa Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) lalu.

Antara lain katanya timbul kerisauan pada kelulusan Rang Undang-undang GST di Parlimen tidak menyatakan tempoh tarif itu kekal.

"Memang benar mereka kata hanya 6% namun sehingga bila? Kita risau tidak sampai dalam tempoh 5 tahun kerajaan akan naikkan cukai tersebut," katanya.

Justeru, beliau menyeru semua rakyat bersama menyertai himpunan protes peningkatan kos sara hidup pada 1 Mei ini.

Rang Undang-Undang GST diluluskan di Dewan Rakyat selepas ia dibacakan kali ketiga dengan 118 ahli Parlimen menyatakan persetujuan pada kali pertama manakala hanya 81 ahli Parlimen yang menyuarakan bantahan.

Bacaan kali kedua pula menyaksikan 119 ahli Parlimen bersetuju dan 81 yang lain tidak bersetuju dan ia membawa kepada bacaan kali ketiga apabila Yang Dipertua Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta persetujuan ahli Parlimen.

Proses pengundian menyaksikan ahli Parlimen pembangkang membawa sepanduk membantah GST dan menimbulkan sedikit kekecohan di dewan.

Najib semasa mengumumkan Bajet 2014 bahawa GST akan dilaksanakan pada April 2015 dengan pengenalan cas sebanyak 6% menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan. – 10 April, 2014.

No comments:

Post a Comment