GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, April 7, 2014

Bahagian 1: Di mana kita patut risau dengan GST – Sakmongkol AK47

APRIL 06, 2014

Mengenai GST, di mana kawasan kerisauan kita?

1) Dari sudut konsentrasi dana dalam tangan kerajaan – berdepan lah dengan kenyataan, bahawa kita tidak percaya Barisan Nasional (BN) bila mengendalikan wang rakyat.

2) Dari sudut agihan pendapatan – ternyata prioriti utama kerajaan ialah memperbanyakkan wang dalam tangan, tidak peka ke atas impak kepada golongan pendapatan rendah khasnya orang Melayu.

3) Impak inflasi.

4) Penguncupan kuasa beli akan mengakibatkan permintaan yang kurang mengakibatkan kelembapan pertumbuhan ekonomi.

Hujjah yang paling seronok digunakan ahli Parlimen Barisan Nasional ialah, jika 160 buah negara dalam dunia ini mengunakan GST, tentulah ia bagus; ada benar dan ada tidak benar.

160 negara menggunakannya ialah tanda semua kerajaan 160 buah negara tersebut mahukan lebih banyak wang dalam tangan mereka.

Negara yang korup dan rasuah, negara “tin pot dictator”, negara kaya yang demokratik, negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi, semua mahukan wang lebih banyak dalam kantung mereka.

Bukan kerana ia semestinya baik untuk rakyat, tapi ianya keadah baik untuk memperbanyakkan dana keajaan. Sama ada ia baik untuk rakyat, bergantung kepada kualiti kerajaan dan kualiti pengurusan wang tersebut.

Maka, jika sumber kekuatan hujah penyokong GST ialah menunjukkan bahawa ada 160 buah negara dalam dunia ini yang melaksanakan GST, yang menyamakan Malaysia dengan 160 negara itu ialah, kerajaan Malaysia sebenarnya mahukan lebih banyak wang dalam kantung mereka?

Kita mesti tanya mengapa kerajaan mahukan lebih banyak wang dalam kantung mereka. GST menambahkan antara RM22 hingga RM33 billion setahun kepada kantung.

Kepada seorang pakar ekonomi, ini suatu perkara yang merunsingkan. Sebab konsentrasi kuasa wang yang banyak dalam tangan kerajaan. Prinsipnya ialah wang rakyat lebih selamat dalam tangan rakyat sendiri dari meletakkan wang tersebut dalam tangan orang lain.

Rekod kerajaan macam mana? Rekod kerajaan sejak 1998 ialah belanja lebih dari pendapatan. Budaya belanja berhemah tidak ada dalam kamus kerajaan kita.

Hutang kerajaan dari sudut peratusan GDP sudah hampir 55% “ceiling”. “Ceiling” ini ditetapkan oleh Akta Pinjaman dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

Bukan “arbitrary”. Bab yang “arbitrary” ialah “ceiling” ini sudah ditukar tiga kali sejak 2003. Semasa itu sahabat saya dari Rompin, menteri kewangan II, menetapkan ia pada 40%. Kemudian masuk Tan Sri Nor Mohamed Yakcop taruh pada tahap 45%.

Sekarang Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menetapkan pada 55%. Maka bab “arbitrary” ialah pada bahagian menukar sesuka hati.

Berbalik kepada perkara yang dirunsingkan oleh pakar ekonomi apabila banyak wang berada dalam tangan kerajaan.

Mengikut laporan Kastam, ianya menambah RM22 billion setahun. Kajian lain menunjuukan RM33 billion. Perbezaan ini diterangkan oleh keberkesanan pengutipan cukai GST.

Kalau efisyen, maka lebih banyak, kalau pihak kerajaan “kautim” dengan syarikat besar yang sudah biasa tidak mahu bayar atau lari dari cukai, maka kuranglah hasil GST.

Apabila GST dilaksanakan, kerajaan akan mempunyai banyak dana. Matlamat mengurangkan defisit akan dilupakan. Dengan wang yang lebih, kita dengar sendiri daripada ahli BN, kita akan dapat bantu rakyat.

Kita boleh pindahkan wang dari yang kaya kepada yang memerlukan. Hujah sebegini memang menarik dan popular. Tapi duit syiling itu ada dua permukaaan.

Konsentrasi wang yang banyak memang boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah kepada rakyat, tapi boleh juga digunakan untuk pembaziran.

Ini yang menakutkan dari sudut ekonomi – pembaziran. Ianya akan menjauhkan lagi objektif mengurangkan defisit.

Sebab kerajaan ada rekod yang buruk dalam perkara ini. Kita boleh buat jejambat overhead RM50 juta, kita hendak belanja RM340 juta.

Kita boleh beli AFV pada harga pasaran RM3.5 juta seunit kita belanja hampir RM8 billion untuk 257 biji yakni RM30 juta seunit.

Kita boleh beli helikopter yang harga pasaran RM85juta seunit, kita beli 12 unit pada harga RM193 juta seunit. Kita plan nak bina PV pada RM350 juta seunit, kita pilih nak buat enam buah LCS pada harga RM1.5 billion seunit.

Ini yang menakutkan mana ahli ekonomi. Pembaziran dan penggunaan wang yang tidak optimal.

Ahli BN boleh kata, itu belum lagi terjadi. Tapi rekod kerajaan yang ada sekarang, menunjukkan bahawa kebarangkalian terjadi demikian lebih tinggi dari keberangkalian tidak berlaku.

Kita akan menyeberangi jambatan bila tiba masanya. sayang sekali jambatan menghubungi “financial discipline” dan “financial prudence” sudah dibakar lama.

* Penulis atau nama sebenarnya Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz ialah Ahli Parlimen Raub.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment