Publication: BH
Date of publication: Apr 5, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 026
Dalam kenyataannya mempertahankan cadangan kerajaan Pulau Pinang mahu menaikkan tarif air di negeri itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi alasan ia bertujuan mengelak berlakunya krisis bekalan dan catuan sumber. Kerajaan negeri, katanya terpaksa mengambil langkah itu untuk mendidik pengguna menggunakan air secara berhemah, sekali gus mengelakkan sikap membazir kerana keperluan bekalan air negeri itu semakin meningkat daripada 865 juta liter sehari pada tahun 2007 kepada 1.035 juta liter sehari pada Mac lalu. Kita menerima alasan beliau itu. Ia adalah realiti.
Antara cara untuk menjadikan air dihargai dan orang ramai menggunakannya secara berjimat ialah dengan menaikkan harga atau kadar tarifnya. Selain untuk memulihara sumber bekalan, langkah menjimatkan penggunaan dan menaikkan kadar tarifnya juga perlu untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri, kerana kenaikan berterusan dalam kadar penggunaannya akibat daripada penggunaan secara tidak berhemat serta pertambahan bilangan penduduk sudah tentunya meningkatkan kos subsidi yang perlu ditanggung. Itulah juga antara alasan serta sebab mengapa Kerajaan Persekutuan melaksanakan rasionalisasi subsidi yang antaranya termasuk memotong kadar subsidi petrol dan diesel. Namun, apa yang menghairankan kita, mengapa ketika Kerajaan Persekutuan mengumumkan langkah rasionalisasi subsidi itu, parti pimpinan Guan Eng, DAP dan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang begitu hebat mencanangkan langkah itu sesuatu yang tidak bertanggungjawab? Mungkin agaknya baru sekarang Guan Eng memahami realiti?
Kita memahami kedudukan mereka sebagai pembangkang, tetapi jadilah pembangkang yang berhemah. Tidak salah untuk mengkritik, lakukan dengan bertanggungjawab dan bukan memutar belit fakta dan memburukkan apa sahaja dasar kerajaan semata-mata untuk mencetuskan kebencian rakyat. Dalam isu pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai contohnya. Walaupun ia adalah sesuatu yang baik dan amat diperlukan negara, iaitu bagi mewujudkan sistem percukaian yang lebih telus dan efisien, sekali gus mengelak ketirisan dalam kutipan cukai yang berlaku selama ini, namun ia diputarbelitkan. Sistem percukaian baru yang dicadang dilaksanakan kerajaan itu cuba digambarkan oleh pembangkang seolah-olah sesuatu yang akan membebankan rakyat, walaupun hakikatnya ia adalah untuk kepentingan negara. Harapan kita agar Guan Eng dan rakannya dalam pakatan pembangkang menjadikan isu kenaikan tarif air di Pulau Pinang itu sebagai pembelajaran untuk mereka menjadi pembangkang yang bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment