GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, April 7, 2014

GST: Tiada jalan lain kecuali turun bersama rakyat, kata Pakatan

OLEH JAMILAH KAMARUDIN
APRIL 04, 2014

Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago (gambar) berkata Pakatan Rakyat tidak ada cara lain lagi untuk menghalang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan bermula April 2015 melainkan menggerakkan kempen kesedaran kepada rakyat.

Rang Undang-Undang GST kini dibacakan kali kedua di Dewan Rakyat dan dijangka diluluskan Isnin depan sebelum dibawa ke Dewan Negara untuk dibahaskan.

"Tidak ada cara lain untuk halang GST daripada dilaksanakan.

"Sekarang kita cuma boleh beri pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai supaya mereka boleh menyampaikan suara bantahan kepada kerajaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Klang, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, himpunan mega bantah GST pada 1 Mei depan di Kuala Lumpur akan menjadi medan penentu rakyat mendesak kerajaan membatalkan sistem cukai berkenaan.

Himpunan anjuran gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat itu memilih sambutan Hari Buruh sebagai tanda golongan pendapatan sederhana bakal dibebani masalah kewangan akibat pelaksanaan GST dan kesan kenaikan harga barang.

Charles berkata, GST tidak boleh dilaksanakan selagi jurang pendapatan rakyat masih tinggi.

Katanya, anggaran RM6 bilion hasil kutipan GST setahun itu tidak mampu untuk menampung beban jumlah ketirisan ekonomi negara yang berjumlah antara RM28 bilion hingga RM40 bilion setahun.

"Malaysia merupakan negara yang mempunyai jumlah ketirisan ekonomi paling tinggi di Asia, bagaimana kerajaan kata boleh tambah pendapatan dengan GST," katanya.

Beliau turut mempersoalkan jaminan kerajaan mengecualikan barangan asas seperti beras dan gula daripada dikenakan GST.

"Bagaimana anda boleh memberi jaminan beras boleh dikecualikan GST jika setiap peringkat pengeluaran daripada padi hinggga jadi beras tidak dikenakan cukai," katanya.

Beliau berkata, GST hanya boleh dilaksanakan jika pendapatan minimum rakyat meningkat melebihi paras 6%, jumlah ketirisan dapat dikawal dan rasionalisasi subsidi dihentikan.

Kerajaan dijangka mengeluarkan deraf GST pada Januari 2015 sebelum mula mengenakan 6% cukai GST pada tahun pertama pelaksanaannya. – 4 April, 2014.

No comments:

Post a Comment