GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, April 8, 2014

Kesan positif GST malapetaka kepada pembangkang



Ikmal Hisham
KUALA LUMPUR 7 April - Pakatan pembangkang membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kesan positif daripada pelaksanaan sistem percukaian tersebut akan mengundang malapetaka politik kepada mereka.

Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata, pelaksanaan GST bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi negara malah turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, pakatan pembangkang sebenarnya takut apabila ekonomi negara kukuh dan rakyat gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Saya yakin ketakutan pakatan pembangkang terhadap GST yang kadangkala bagaikan hantu yang memburu mereka di siang hari bukanlah kerana GST tidak baik kepada negara.

"Sebaliknya, saya yakin pakatan pembangkang bimbang pelaksanaan GST akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang GST 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ikmal Hisham menambah, bantahan terhadap GST dilakukan kerana pakatan pembangkang tiada lagi modal untuk memburuk-burukkan kerajaan sekali gus menghalang niat songsang mereka meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Beliau memberitahu, pakatan pembangkang tidak sepatutnya menghasut rakyat untuk menentang pelaksanaan GST tahun depan.

"Biarlah rakyat menilai sendiri apabila GST dilaksanakan. Sama ada ia baik atau tidak, biarlah rakyat menentukannya," ujarnya.

Namun, Ikmal Hisham yakin impian pakatan pembangkang untuk melihat kerajaan BN tumbang selepas GST dilaksanakan tidak akan menjadi realiti.

"Apabila GST dilaksanakan, sokongan kepada BN bukan sahaja akan bertambah kukuh malah semakin meningkat khususnya dalam Dewan Rakyat.

"Situasi tersebut akan berlaku kerana apabila GST dilaksanakan, rakyat akan sedar betapa bijaknya kerajaan BN mentadbir negara sekali gus menolak segala tohmahan dan dakyah pembangkang terhadap pelaksanaan cukai ini," jelasnya.

Berikutan kejayaan pelaksanaan GST itu, beliau percaya rakyat akan menolak pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 setelah menyedari hakikat bahawa mereka hanyalah saudagar mimpi, pedagang janji dan penjual ilusi.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment