APRIL 07, 2014
Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini diluluskan di Dewan Rakyat selepas ia dibacakan kali ketiga dengan 118 ahli Parlimen menyatakan persetujuan pada kali pertama manakala hanya 81 ahli Parlimen yang menyuarakan bantahan.
Bacaan kali kedua pula menyaksikan 119 ahli Parlimen bersetuju dan 81 yang lain tidak bersetuju dan ia membawa kepada bacaan kali ketiga apabila Yang Dipertua Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta persetujuan ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta pertimbangan Yang Dipertua agar undi kali kedua dibuat dan ia tidak ditolak beliau.
Proses pengundian hari ini menyaksikan ahli Parlimen pembangkang membawa sepanduk membantah GST dan menimbulkan sedikit kekecohan di dewan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa mengumumkan Bajet 2014 bahawa GST akan dilaksanakan pada April 2015 dengan pengenalan cas sebanyak 6%menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan dengan lulusnya rang undang-undang itu maka fasa baru beban rakyat akan bermula malah kerajaan mempunyai mekanisme lain selain melaksanakan GST.
Katanya, rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tidak wajar dikenakan GST dan beban cukai sebaliknya perlu diperkukuhkan kepada syarikat korporat.
“Ini adalah tanggungjawab setiap ahli Dewan Rakyat menentang GST kerana kami berasakan cara ini bukanlah paling wajar. Ia akan membawa beban yang sangat besar kepada rakyat.
“Kenakan syarikat besar dahulu seperti IPP atau konsesi tol. Tadi Menteri Kerja Raya ada menyebutkan boleh menghentikan konsesi tol. Ini semua tidak dilakukan dan yang kena adalah rakyat biasa.
Lim berkata kadar hutang peribadi di Malaysia sudah semakin membengkak dan dengan pelaksanaan GST pada 2015 akan memburukkan lagi situasi penghutang di Malaysia.
“Jangan lupa hutang peribadi kita yang kedua tertinggi di Asia iaitu 87%. Ini hanya akan meningkatkan beban hutang di kalangan rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu turut menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai lupa daratan apabila mengenakan cukai tersebut di saat keperitan rakyat.
“Mereka nak habis cepat-cepat sahaja. Ini macam cukai segera. Ini menunjukkan mereka sudah lupa daratan kerana mereka patut memudahkan rakyat tetapi yang berlaku sebaliknya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Mahfuz pula menyifatkan BN jelas tidak melihat permasalahan rakyat apabila memperkenalkan GST.
Katanya, menteri yang bertanggungjawab tidak memberikan jawapan sewajarnya kepada ahli Parlimen pembangkang ketika diminta mengulas mengenai cukai itu.
“Ini jelas menunjukkan ahli Parlimen BN langsung tidak prihatin kepada permasalahan yang dihadapi rakyat akibat pelaksanaan GST.
“Menteri sendiri tidak menjawab apa yang dibangkitkan secara spesifik apa yang dibangkitkan pembangkang,” katanya.
Mahfuz berkata kerajaan memang sengaja melaksanakan GST dan tidak memberikan pilihan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Hujah mereka orang miskin tidak akan terkena GST bermakna orang miskin itulah makanannya. Kerajaan tak fikir bagaimana meningkatkan pendapatan rakyat agar barang yang baik boleh didapatkan rakyat,” katanya. – 7 April, 2014.
No comments:
Post a Comment