SEREMBAN 8 April - Rakyat tidak perlu bimbang terhadap penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang didakwa pembangkang mampu membebankan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana sistem percukaian itu sebenarnya membawa banyak faedah kepada rakyat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.
"GST yang bakal dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 2015 sebenarnya bukan sistem yang baharu, malah 160 negara telah melaksanakannya dan ternyata berkesan.
"GST hanya dikenakan kepada barangan tambah nilai, bukan kepada barangan asas. Majoriti barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak, ikan, sayur-sayuran termasuk aspek kesihatan serta pelajaran dan banyak lagi langsung tidak dikenakan cukai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Penerangan dan Pemahaman Tentang GST anjuran Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKK) di sini hari ini.
Mohamad menjelaskan, orang ramai tidak perlu berasa risau atau terkeliru dengan dakyah serta pembohongan pembangkang berhubung pelaksanaan GST.
"Jangan dengar cakap pembangkang bahawa GST akan membebankan orang terutamanya golongan susah.
"Sebenarnya mereka (pembangkang) takut kerana memiliki kepentingan dalam perniagaan. Sebab itu DAP paling lantang mempersoalkan GST kerana parti itu sebenarnya disokong oleh siapa," ujarnya.
Tambahnya lagi, penguatkuasaan GST bakal melancar serta melicinkan sistem percukaian negara kerana bersifat progresif.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140409/ws_03/GST-tidak-bebankan-rakyat---MB#ixzz2yLogKHAa
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment