GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, April 8, 2014

Kerajaan perlu masuk IPT perjelas pelaksanaan GST


Publication: BH
Date of publication: Apr 8, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 029
Byline / Author: Oleh Saufi Hamzah

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) yang berperanan dalam aspek pembangunan belia Malaysia sentiasa proaktif dalam membantu dan menyokong dasar kerajaan sama ada yang sudah dilaksanakan atau dalam perancangan semasa.

Pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013 yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mencadangkan supaya cukai jualan dan perkhidmatan dimansuhkan.

Dua cukai yang dimansuhkan ini akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). GST akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015.

Kerajaan sudah mencadangkan model GST yang akan dilaksanakan di Malaysia ialah kadar GST yang ditetapkan adalah sebanyak enam peratus berbanding kadar cukai jualan (5 peratus atau 10 peratus) serta cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

Setakat ini, kira-kira 160 negara sudah melaksanakan GST atau juga dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT). Kebanyakan negara yang sudah melaksanakan GST atau VAT pada kadar lima peratus hingga 24 peratus.

Kenapa memilih GST? Ia adalah sebagai langkah untuk menyusun semula struktur percukaian negara. Ini berkait rapat dengan sumber hasil negara di mana keperluan untuk mengurangkan kebergantungan ke atas sumber cukai langsung dan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan ke atas pendapatan petroleum.

Sumber hasil lebih stabil

Golongan belia harus memahami bahawa GST adalah sumber hasil yang lebih stabil berbanding hasil daripada cukai pendapatan. Rentetan itu, sememangnya GST adalah sistem percukaian yang lebih efisien dan efektif sekali gus membolehkan sektor ekonomi yang terselindung akan terdorong untuk menyertaiGST.

Oleh itu, pengumuman kerajaan mengenai cadangan pelaksanaan sistem GST ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat terutama golongan muda. Pelbagai maklum balas sama ada positif dan negatif sudah diluahkan oleh mereka berkenaan berkaitan pengumuman terbabit.

Justeru, KBS melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mengambil inisiatif bagi membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat pelaksanaan GST khusus kepada generasi belia agar mereka memahami keperluan negara untuk melaksanakan cukai berkenaan menerusi pelaksanaan program intelektual Persidangan Meja Bulat GST.

Sehingga kini, IYRES berjaya melaksanakan dua Persidangan Meja Bulat GST iaitu pada 26 Disember 2013 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras bagi peringkat kebangsaan dan pada 16 Mac 2014 di Kompleks Belia dan Sukan Johor Bahru bagi Zon Selatan.

Kedua-dua program itu membabitkan golongan belia pada peringkat persatuan belia, penggerak persatuan pelajar dan orang perseorangan yang sukarela hadir untuk menambah pemahaman dan pengetahuan mengenai pelaksanaan GST di negara ini. Sebanyak 220 orang belia hadir bagi kedua-dua program berkenaan.

Bagi Persidangan Meja Bulat GST Zon Selatan yang berlangsung baru-baru ini, belia yang mengikuti persidangan berkenaan bersetuju dengan pelaksanaan GST selepas mendengar sesi taklimat yang diberikan oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Kerajaan perlu beri penerangan

Bagaimanapun, hasil rumusan yang dikeluarkan oleh IYRES berdasarkan kepada cadangan dan pandangan belia yang hadir mendapati kerajaan perlu memberi penerangan serta menyebarkan maklumat yang jelas dan tepat secara menyeluruh supaya dapat meningkatkan tahap kefahaman terhadap pelaksanaan GSTpada peringkat akar umbi.

Belia mencadangkan supaya kerajaan membuat engagement dengan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk diberi latihan dalam membantu memberi penerangan pelaksanaan GST kepada rakyat.

Sesi dialog yang efektif antara pemimpin dengan rakyat juga perlu diadakan bagi membolehkan setiap persoalan dapat dirungkai berkenaan pelaksanaan GST.

Selain itu, belia berpendirian supaya kerajaan melalui KDRM dan KPDNKK menggembleng sinergi dengan IYRES bagi menyebarluaskan GST dalam langkah advokasi pelaksanaan GST di samping ketelusan kerajaan dalam memberikan penjelasan terhadap penggunaan hasil cukai GST supaya rakyat memahami ke mana hasil cukai disalurkan dan bagaimana dibelanjakan.

Jaminan daripada kerajaan juga disuarakan oleh belia bahawa pelaksanaan GST tidak akan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang yang membawa kepada kenaikan kos sara hidup.

Penyebarluasan maklumat berkaitan jenis barang atau perkhidmatan yang tidak dikenakan GST sedang dihebahkan dan perlu dipertingkatkan lagi bagi memberikan maklumat lengkap kepada rakyat.

Rumusannya, belia bersetuju supaya hasil input yang diperoleh daripada persidangan ini dibincangkan ke dalam Makmal Kos Sara Hidup yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Hadir sama menyokong Persidangan Meja Bulat Cukai Barang Dan Perkhidmatan Zon Selatan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Antarabangsa & Pengurusan) KBS, Datuk Azhar Mohamed Isa; Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES, Adnan Abu Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr Wasitah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Abd Aziz Abd Rahman.

Sementara itu, belia juga harus memahami bahawa GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak serta bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

No comments:

Post a Comment