2013/11/08 - 06:31:15 AM
Petaling Jaya: Semakan semula tarif elektrik akan dibuat selepas Kementerian Kewangan menyelesaikan kajian berhubung tahap kecekapan penggunaan tenaga di negara ini.
Ia dijangka dibentangkan kepada umum sebelum akhir tahun ini atau tahun depan.
Ketua Seksyen Ekonometrik Jabatan Ekonomi dan Antarabangsa Kementerian Kewangan, Dr Khalid Abdul Hamid, berkata kajian yang memasuki peringkat akhir itu dibuat berdasarkan keperluan pengurusan fiskal dan kewangan semasa negara.
“Kajian itu lebih fokus kepada kecekapan kerana kami mahukan orang awam memahami bahawa tenaga elektrik mesti digunakan secara berhemah, betul dan tidak dibazirkan.
“Hasil kajian akan didedahkan kepada umum pada tahun
ini atau tahun depan,” katanya semasa ditemui di luar Forum Umum Mengenai Pembaharuan Sektor Elektrik Malaysia anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, semalam.
Beliau sebelum itu menjadi salah seorang ahli panel pada sesi bertajuk ‘Keperluan Semakan Semula Tarif Elektrik dan Kesannya.’
Susun semula subsidi
Semakan semula tarif elektrik di Malaysia dijangka akan menjadi gelombang penyusunan semula subsidi kerajaan yang seterusnya, selepas beberapa pengumuman dibuat sebelum ini membabitkan bahan bakar dan gula.
Syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebelum ini membayangkan bahawa semakan semula tarif elektrik akan dilakukan.
Ia mengambil kira kenaikan harga gas dan arang batu global.
Kerajaan membelanjakan secara purata antara RM8 bilion hingga RM12 bilion setahun bagi subsidi tenaga elektrik.
Mengulas lanjut Khalid berkata, semakan semula tarif itu tidak akan menghapuskan sama sekali subsidi kerajaan ke atas tenaga elektrik, sebaliknya matlamat subsidi itu lebih terarah kepada golongan yang disasarkan seperti kumpulan berpendapatan rendah.
“Semakan semula tarif itu adalah mesra kepada golongan yang memerlukan. Bagi pengguna lain, konsepnya adalah sama dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) iaitu anda perlu membayar lebih tinggi jika menggunakan perkhidmatan dengan lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata, kajian yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan itu diharap dapat mencapai satu peringkat yang dipersetujui oleh pihak pembekal dan isi rumah.
“Setiap penemuan dalam kajian berkenaan akan menjadi garis panduan yang jelas mengenai impak sebenar semakan semula tarif elektrik yang akan datang,” katanya sambil menambah kementeriannya dijangka mendapatkan lebih banyak input daripada beberapa seminar yang akan diadakan bersama agensi lain termasuk Unit Pengurusan dan Penyampaian Prestasi (PEMANDU) serta Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA).
No comments:
Post a Comment