GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 4, 2013

GST untungkan rakyat, bukan cukai berganda


Publication: BM
Date of publication: Nov 3, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober lalu terus mendapat perhatian rakyat khasnya perkara membabitkan rancangan kerajaan mahu melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015. GST menjadi isu yang hangat diperkatakan sehingga menimbulkan persepsi bercampur-campur dalam kalangan rakyat. Pada masa sama, banyak pihak yang tidak sealiran dengan kerajaan membantah pelaksanaan GST nanti dengan memberikan pelbagai alasan dan jawapan yang lama kelamaan boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat. Wartawan BH, Mohd Anwar Patho Rohman mendapatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengenai GST dan kewajaran ia hendak dilaksanakan serta kesannya kepada negara.

Wartawan: Boleh Datuk Seri jelaskan apakah konsep Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Bagaimana ia boleh muncul?

Abdul Wahid: GST ini sebenarnya banyak maklumat diberikan mungkin mengelirukan. Kita sebenarnya hendak melaksanakan GST dalam konteks menstruktur semula percukaian kita dalam usaha melebarkan lagi asas pendapatan kita. Kalau kita lihat maklumat ini, GST ini satu cukai menggantikan Cukai Barang dan Jualan (SST). Ia bukan cukai tambahan, bukan cukai baru menggantikan yang lama.

Kadar yang kita kenakan iaitu munasabah iaitu enam peratus yang mana ia setaraf dengan kadar cukai perkhidmatan sedia ada dan dalam lingkungan kadar cukai jualan antara lima hingga 10 peratus. Dalam konteks lingkungannya, terdapat barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kadar sifar atau dikecualikan cukai seperti beras, gula, tepung, daging, ayam dan ikan. Tidak semua barang akan dikenakanGST. Jangka masa pelaksanaannya juga munasabah.

S: Mengapa kerajaan menetapkan tempoh 17 bulan untuk melaksanakan GST?

J: Kita beri masa 17 bulan untuk membolehkan syarikat dan perniagaan bersiap sedia melaksanakan GST. Kalau dilihat, 17 bulan sudah cukup. Sebenarnya masa diberikan kepada syarikat adalah lebih lama lagi,GST mula dibincangkan dalam Bajet 2006. Pada Disember 2009 kerajaan bentang rang undang-undang ini di Parlimen. Sebenarnya sudah lama syarikat diberi masa menyiapkan diri dan ada lagi 17 bulan. Ia satu jangka masa sesuai. Apa yang penting dan tidak disebut dengan cukup ialah kita ada pakej `offset' iaitu memberi bantuan dan langkah mengurangkan impak peningkatan kos kepada rakyat.

Sebagai contoh kita memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tambahan RM300 pada tahun pertama pelaksanaan GST. Kita bakal menambah BR1M pada kadar RM500 kepada RM650 untuk mereka yang berpendapatan RM3,000 sebulan manakala untuk mereka berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, kita beri BR1M sebanyak RM450. Bagi mereka yang berpendapatan pertengahan, kita adakan juga program seperti pelepasan cukai pendapatan peribadi sebanyak RM2,000. Ini untuk mereka yang berpendapatan RM8,000 sebulan. Mereka dapat jimat sehingga RM480. Ini di atas pengurangan cukai bakal dilaksanakan untuk individu antara satu hingga tiga peratus dan syarikat daripada 25 kepada 24 peratus.

Dalam konteks cukai pendapatan individu, untuk mereka yang berpendapatan sehingga RM100,000 setahun, penjimatan mereka ialah RM1,950 setahun. Ini antara pakej 'offset' untuk membantu rakyat menghadapi struktur percukaian baru.

S: Apabila GST hendak diperkenalkan mungkin orang atau rakyat tidak faham dengannya. Pasti akan ada pihak yang memanipulasi GST untuk kepentingan tertentu termasuk politik dan akhirnya rakyat terpengaruh. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

J: Kita minta agar perkara ini tidak dipolitikkan. Sebenarnya GST adalah cukai berkesan yang mana tidak ada cukai berganda. Untuk rakyat juga ia adalah cukai yang adil. Mereka yang berpendapatan lebih banyak, akan berbelanja lebih dan apabila mereka berbelanja, mereka akan bayar cukai dalam peratus tinggi.

S: Adakah ini bermaksud cukai SST tidak berkesan atau macam mana?

J: Dalam konteks peniaga, apabila mereka membeli barangan dan setengah barangan mereka beli itu digunakan dalam proses pengeluaran, mereka hanya membayar cukai jualan. Tetapi mereka tidak dapat kutip balik cukai itu apabila ada GST. Apabila mereka mengenakan GST kepada pembeli dan mengutip hasil, mereka boleh mengurangkan apa yang dibayar kepada kerajaan dan apa yang dibayar iaitu cukai input. Cukai itu dikenakan kepada penambah nilai dalam proses perkilangan.

S: Apakah GST turut dikenakan terhadap peniaga kecil pasar malam atau pengusaha restoran. Adakah kedudukan akan menyebabkan mereka diwajibkan mengutip GST.

J: Tidak, kerana kita mengenakan tahap minimum jualan RM500,000 setahun. Jika peniaga di pasar malam, kita tidak fikir jualan mereka mampu mencapai hingga RM500,000 dan dengan itu mereka tidak perlu dikenakan GST.

S: Kalau dilihat, beberapa negara rantau ini sudah lebih awal melaksanakan GST. Contohnya di Indonesia, penduduk mereka ramai tetapi kerajaan mereka mengenakan GST pada 1984 pada kadar 10 peratus. Adakah ini menunjukkan GST di sana lebih berkesan dilaksanakan awal berbanding negara kita?

J: Memang benar banyak negara sudah melaksanakan GST. Di rantau ASEAN, tujuh negara sudah melaksanakannya dan 160 daripada 197 negara juga sudah melaksanakannya. Mereka mengiktiraf GSTsebagai satu cukai yang baik dan menyeluruh serta berkesan. Sebab itu mereka lebih awal melaksanakannya. Kita sebenarnya sudah lama bercadang melaksanakan GST tetapi akibat mendapat bantahan dan dipolitikkan, maka kita tangguhkan dulu. GST ada disebut di dalam Bajet 2006 dan ada rang undang-undang mengenainya dibentang pada 2009, tapi kita tidak dapat melaksanakan kerana ia dipolitikkan. Kini, sudah sampai masanya, kita mengadakan satu pakej menyeluruh dan kadar yang sederhana dan pakej 'offset', Insya-Allah kita mampu melaksanakannya.

S: Kerajaan akan melaksanakan GST pada kadar enam peratus, mengapa kita memilih kadar itu?

J: Kita hendak memastikan apabila dilaksanakan cukai bagi menggantikan SST, kita tidak mahu bila dibuat pada kadar yang mana kita dapati pendapatan kita akan berkurangan. Kita hendak meningkatkan pendapatan kita. Pada kadar enam peratus, dalam tempoh sembilan bulan pertama ia dilaksanakan, kita akan mengutip sebanyak RM23 bilion dan pada tahun penuh ia dilaksanakan, RM32 bilion akan dikutip. Daripada jumlah itu, dibandingkan dengan pendapatan kita daripada SST ada kesan jaringan instrumental. Selepas kita tolak bantuan tambahan seperti BR1M dan pelepasan cukai individu serta syarikat, kita ada surplus. Kadar enam peratus sama pada cukai perkhidmatan sedia ada dan impaknya mereka dapat surplus.

S: Pelaksanaan GST nanti akan mendorong rakyat mengambil kira kesannya kepada kehidupan mereka. Andaikan dalam satu isi rumah, jika suami bekerja dan digabungkan dengan pendapatan isteri, pendapatan mereka berjumlah RM5,000. Adakah pendapatan mereka itu akan dikenakan GST dan adakah akan terjejas? Boleh Datuk Seri jelaskan?

J: Kita sudah membuat kajian dalam hal ini. Jika GST dilaksanakan, kemungkinan harga barang atau kos yang mereka tanggung akan meningkat sehingga 1.8 peratus. Ini bukan satu peningkatan 'one off' maknanya dalam tahun pertama GST diperkenalkan, kita percaya dengan adanya pengurangan kadar cukai dan bantuan lain yang diberikan kerajaan, ia akan membantu mereka mengatasi kos tambahan itu.

S: Ada pihak mendakwa apa yang hendak dilaksanakan kerajaan ini bagus tetapi mereka mempersoal pelaksanaannya. Bagaimana Datuk Seri menilai perkara ini?

J: Banyak pendekatan yang kita akan buat seperti hebahan maklumat tepat mengenai GST. Kementerian Kewangan ada pasukan yang akan menerangkan apa itu GST menggunakan pelbagai mekanisme termasuk menggunakan laman web. Yang penting dasar ini adalah untuk kebaikan syarikat dan peniaga. Kita hendak memastikan sistem perakaunan mereka mengambil kira GST. Kita menyediakan masa panjang untuk mereka bersedia. Kemudahan itu akan membolehkan mereka melatih pekerja mengenali GST.

S: Kadang kala dalam masyarakat kita, orang yang berniaga suka mengambil kesempatan. Adakah dengan pelaksanaan GST nanti, akan ada kemungkinan peniaga mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan?

J: Mungkin ada tetapi kita ada mekanisme untuk memantau kegiatan itu. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau dan memastikan peniaga tidak akan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

S: Datuk Seri ada menyatakan yang rang undang-undang mengenai GST pernah dibentangkan di Parlimen tetapi hanya kini ia hendak dilaksanakan. Ia seperti kerajaan teragak-agak hendak melaksanakannya. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Pada ketika itu bagi saya di sektor swasta, banyak manfaat akan diperoleh apabila GST dilaksanakan. Bagaimanapun ketika itu apabila ia dipolitikkan dan wujud satu pergerakan menggelar diri mereka `NoGST', mungkin kerajaan fikir pada masa itu belum sampai masa hendak melaksanakannya. Namun kerajaan terus melakukan perbincangan dan analisis mengenai impak GST. Sebab itu kita mahu melaksanakannya kali ini kerana ia satu masa yang munasabah dan sesuai.

Banyak pihak yang mengakui manfaat GST ini, malah pembangkang juga mengakui GST adalah satu sistem percukaian yang baik. Namun pembangkang kata belum sampai masa melaksanakannya. Bagi saya, kita sudah banyak kali menunda, rasanya sudah sampai masa kita melaksanakannya.

No comments:

Post a Comment