GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 4, 2013

Menteri jamin kos kesihatan tak naik


Publication: BH
Date of publication: Nov 4, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 008

Melaka Tengah: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015 tidak akan meningkatkan kos perkhidmatan dan rawatan kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata sektor itu memang dikecualikan cukai oleh kerajaan, namun pihaknya akan meneliti dan mengeluarkan senarai terperinci jenis khidmat kesihatan yang tidak terbabit dalam pelaksanaan GST untuk makluman awal kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu yang hanya boleh menimbulkan keresahan dan mengelirukan orang ramai, terutama apabila GST dijadikan isu oleh pembangkang.

"Ada beberapa perkara lain yang dikecualikan GST dalam sistem perkhidmatan kesihatan. Kita akan bincangkan secara lebih mendalam kerana perkhidmatan ini sebenarnya mempunyai skop yang amat luas," katanya pada majlis rumah terbukanya sempena Deepavali di Ujong Pasir, di sini malam kelmarin.

Antara yang hadir bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; pemimpin MIC negeri, Datuk R Raghavan dan Datuk R Perumal serta kira-kira 1,500 tetamu pelbagai kaum.

Perkasakan agensi

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata, kementeriannya akan memperkasakan lagi agensi yang terbabit dalam aspek keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan rakyat sentiasa terkawal.

Katanya, antara yang perlu diperkasakan ialah prosedur penguatkuasaan untuk memantau makanan dari luar negara supaya sentiasa selamat dan bersih daripada sebarang bentuk pencemaran.

Pada masa sama, beliau berkata, agensi itu juga perlu sentiasa memberi penerangan serta meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung keselamatan makanan.

"Ketika ini, kita menghadapi cabaran baru dalam soal keselamatan makanan kerana pelbagai jenis makanan dari luar mudah dibawa masuk ke Malaysia. Sebab itu, kita berusaha memperkasakan agensi berkenaan kerana ia boleh menyelamatkan rakyat daripada terkena pelbagai penyakit yang boleh mengancam nyawa," katanya.

No comments:

Post a Comment