GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 4, 2013

Saat penentuan 27,222 pengundi Sungai Limau


Publication: BM
Date of publication: Nov 3, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 029
Byline / Author: Oleh Adha Ghazali; Haspaizi Mohd Zain

Esok 27,222 pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan menjadi penentu sama ada PAS yang sudah lima penggal menggenggam erat kerusi itu terus mengekalkannya atau Barisan Nasional (BN) kembali merampasnya.

Ramai melihat PAS memiliki kelebihan untuk mengekalkan penguasaan di kerusi yang diterajuinya sejak 1995, namun tidak kurang juga yang mahu melihat penguasaan di DUN terbabit berpindah kepada BN.

Justeru, dilema menghantui pengundi kerana pertembungan di DUN Sungai Limau kini bukan lagi sekadar untuk memilih wakil rakyat antara dua calon bertanding iaitu Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang mewakili BN dan Mohd Azam Abd Samat yang mewakili PAS.

Ini kerana kedua-dua calon terbukti memiliki kelebihan yang setara untuk menang kerana masing-masing mempunyai latar belakang sebagai pendidik.

Namun apa yang lebih utama, keputusan yang bakal dicapai melalui PRK DUN Sungai Limau esok turut menentukan status mentaliti warga DUN Sungai Limau itu sendiri secara keseluruhan.

Penilaian dua isu penentu

Ini kerana dua isu kini menjadi penentu kepada penilaian yang bakal dibuat pengundi iaitu sama ada untuk membuat pilihan berasaskan kepada kesetiaan terhadap parti semata-mata atau keupayaan parti itu sendiri dalam mencorak pembangunan untuk rakyat.

Apa yang pasti, tema dibawa kedua-dua parti bertanding iaitu BN dan PAS menjadi penanda aras utama untuk tujuan itu.

Bagi PAS, pastinya tema `Kekal' yang dibawa menggambarkan hala tuju parti itu untuk memastikan penguasaan mereka di kerusi terbabit sejak sekian lama dikekalkan.

Justeru, tidak hairanlah PAS cenderung menjadikan populariti bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau selama lima penggal, sebagai sandaran untuk meraih sokongan pengundi.

Konsep lebih luas

Bagi BN pula, slogan `Berani Hijrah' dengan tema pembangunan, menjadi sandaran utama. Hijrah bukan bermaksud berpindah, tetapi konsepnya jauh lebih luas iaitu membabitkan peralihan termasuk dalam konteks minda dan mentaliti untuk menerima pembaharuan dan pembangunan.

Apa yang cuba dibawa BN ialah untuk memastikan masa depan kawasan DUN Sungai Limau dan rakyat yang bernaung di bawahnya untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang lebih terjamin. Untuk itu, keseragaman dalam pentadbiran di segenap peringkat bermula dari DUN, negeri sehinggalah ke peringkat Pusat, amat diperlukan.

Dari segi kempen, tidak banyak isu dibangkitkan sepanjang tempoh kempen berlangsung sebaik proses penamaan calon selesai pada 23 Oktober lalu. Ia secara langsung memberi gambaran bahawa PRK Sungai Limau sebenarnya berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan.

Namun, PAS dilihat sedikit terkeluar daripada radar kempen kekeluargaan apabila cenderung menggunakan pendekatan kurang berhemah. Ini terbukti apabila parti itu menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sasaran dengan memutar-belit kenyataan Timbalan Perdana Menteri berhubung isu bajet dan subsidi, sehingga dilihat seolah-olah menghina Allahyarham Azizan yang sememangnya disayangi dan disegani ramai.

Apa pun, cubaan mereka menimbulkan kesangsian pengundi, mati di tengah jalan apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat penjelasan termasuk memohon maaf kepada pihak keluarga Allahyarham Azizan jika kenyataan yang disalah tafsir itu menimbulkan gangguan kepada mereka. Pastinya, ia diterima baik pihak keluarga.

Selain itu, beberapa isu lain dibangkitkan PAS seperti sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan kerajaan mulai 1 April 2015, kononnya membebankan rakyat, turut dipatahkan apabila ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri mengakui ia sebagai sistem yang baik.

Apa yang pasti, kedua-dua pihak menyedari tumpuan utama rakyat harus diberi kepada warga nelayan dan petani yang menjadi masyarakat majoriti DUN Sungai Limau, sekali gus dianggap sebagai kelompok penentu kepada keputusan PRK Sungai Limau.

Peluang sama rata

Secara keseluruhan, di atas kertas peluang kedua-dua parti nampak seimbang. PAS dilihat mampu mempertahankan kemenangan di kerusi DUN Sungai Limau, namun keupayaan BN untuk membuat kejutan tidak boleh dinafikan.

Berdasarkan tempoh kempen yang masih berbaki 24 jam, sentuhan terakhir barangkali mampu mempengaruhi pengundi. Siapa yang pandai memainkan isu yang dekat dengan pengundi serta memenuhi keinginan rakyat Sungai Limau secara keseluruhan, pasti akan dinobat sebagai wakil rakyat baru kawasan itu.

Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, ketika diminta mengulas, berpendapat latar belakang masyarakat Sungai Limau wajar dijadikan tumpuan kedua-dua parti untuk memenangi hati pengundi di kawasan itu.

Mengambil contoh institusi pondok yang menjadi tumpuan utama masyarakat Sungai Limau, katanya BN dilihat sedikit ke depan berbanding PAS dalam hal ini, terutama dengan penumpuan diberikan kerajaan untuk membangunkan institusi itu melalui Bajet 2014.

Beliau berkata, calon PAS mempertaruhkan latar belakang keluarganya yang terbabit dengan institusi pondok sebagai daya tarikan kepada pengundi, namun calon BN juga tidak kurang hebat kerana pernah berkhidmat sebagai guru pondok.

Pilihan di tangan pengundi

"Persoalannya sekarang, adakah pengundi Sungai Limau mahu memilih wakil rakyat yang hanya pandai mentadbir kira-kira 10,000 kanak-kanak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) atau calon yang memiliki pengalaman lebih luas kerana berkhidmat di pusat pengajian tinggi dan juga dalam masyarakat?," katanya.

Md Shukri berkata, bagi kalangan petani dan pesawah, golongan ini perlu menilai apakah dengan meletakkan harapan kepada PAS nasib mereka terbela dan mampukah PAS melaksanakan janji yang ditabur jika mereka menang, kerana yang mentadbir Kedah kini adalah BN dan bukannya PAS," katanya.

"Beberapa perkara ini harus diambil sebagai titik penilaian kepada pengundi sebelum memangkah calon pilihan masing-masing. Rakyat Sungai Limau perlu melihat kemajuan Sungai Petani dan beberapa kawasan di sekitarnya yang agak lebih maju berbanding kawasan itu.

"Tiada gunanya jika pengundi hanya meletakkan harapan pada wakil rakyat yang hanya mampu bersuara saja tetapi tidak boleh menunaikan apa dijanjikan. Jika mahukan perubahan dan suara didengari, masyarakat Sungai Limau perlu memilih calon senada dengan kerajaan negeri dan juga Pusat hari ini," katanya.

No comments:

Post a Comment