GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, November 6, 2013

Bajet capai pertumbuhan


Publication: BH
Date of publication: Nov 4, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Idris Jala

Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini sarat dengan segala ramuan diperlukan untuk terus melangkah mencapai pertumbuhan serta kestabilan kewangan bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020, dengan pendapatan per kapita AS$15,000.

Tiga perkara tentang bajet menarik perhatian saya iaitu program bagi pengukuhan kedudukan fiskal, lanjutan program transformasi kerajaan dan ekonomi serta penunaian janji kerajaan pada pilihan raya lalu.

Malah, Perdana Menteri juga begitu berani mengetepikan suarasuara politik yang sering menerpa lalu mengumumkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjelang 1 April 2015, dengan memberikan tempoh 17 bulan bagi penyediaan dan pelarasan yang perlu dijalankan agar pelaksanaan GSTnanti tidak berdepan sebarang masalah.

Pada saya, pengumuman Perdana Menteri ini adalah langkah berani kerana memang terdapat pelbagai usaha yang dijalankan bagi mematahkan pelaksanaan cukai nilai tambah ini oleh beberapa pihak yang kurang faham dasar dan tujuan cukai itu dikenakan. Hal ini telah pun saya jelaskan dalam kolum saya yang lepas.

Beri impak minimum

Memadailah saya sebutkan bahawa pengenaan cukai GST enam peratus memberikan impak minimum kepada golongan miskin kerana pembekalan pelbagai keperluan asas akan diubah kepada pembekalan berkadar sifar dan dikecualikan cukai.

Ertinya, pelaksanaan GST membebaskan golongan miskin daripada membayar cukai jualan (sehingga 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (enam peratus).

GST adalah suatu cukai penggunaan yang memperluas asas cukai kita dan hanya pengguna yang paling banyak berbelanja akan dikenakan cukai, semestinya golongan kaya.

Pengenaan GST juga menjadikan lebih mudah bagi cukai pendapatan korporat dan individu dikurangkan. Bagi cukai pendapatan individu pula, strukturnya telah dirombak demi mengambil kira permasalahan yang dihadapi golongan bekerja.

Langkah seterusnya bagi pengukuhan fiskal termasuklah penyusutan subsidi secara berperingkat. Perdana Menteri telah pun memaklumkan bahawa subsidi gula dikurangkan sebanyak 34 sen sekilo dan subsidi lain akan di rasionalisasi secara beransur.

Penjimatan menerusi pengurangan subsidi ini dapat digunakan semula untuk tujuan pembangunan, khususnya pembangunan infrastruktur seperti skim dan penambahbaikan pengangkutan yang dapat memanfaatkan semua.

Penjimatan itu juga membolehkan kerajaan menambah bantuan tunai secara langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana kepada RM650 di bawah program BR1M, iaitu program pemberian bantuan tunai 1Malaysia.

Buka kelayakan pendapatan

Tambahan lagi, program ini telah dikembangkan sehingga peningkatan setinggi sepertiga dengan membuka kelayakan pendapatan bulanan kepada RM4,000. Skim insuran yang baru diperkenalkan, iaitu Kumpulan Takaful Rakyat 1Malaysia(i-BR1M) juga membolehkan penerima BR1M seisi rumah menikmati perlindungan takaful sehingga RM30,000 jika berdepan dengan perkara tidak diduga seperti kematian atau kecacatan kekal.

Bantuan tunai langsung yang diberikan bagi meringankan beban golongan yang terhimpit oleh potongan subsidi adalah jauh lebih adil daripada pemberian subsidi menyeluruh kepada semua orang, termasuklah mereka yang mampu berbelanja mewah.

Bantuan yang disasarkan secara khusus ini juga lebih efektif kerana sumbangan disalurkan hanya kepada pihak yang benarbenar memerlukannya, seiring dengan matlamat kami dalam program transformasi, iaitu transformasi secara menyeluruh dan terangkum - meliputi seramai rakyat yang mungkin dalam proses pembangunan negara.

Bagi menghalang sebarang kenaikan mendadak harga hartanah dan membantutkan spekulasi terhadap pasaran hartanah, cukai untung harta tanah juga telah dinaikkan. Langkah ini dapat mengubah hala tuju aktiviti hartanah hanya kepada permintaan sebenar seperti penyediaan perumahan kos sederhana.

Segi makro

Dari segi makro pula, sasaran fiskal berada pada tahap baik. Paras hutang Kerajaan kekal di bawah sasaran yang ditetapkan, iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu jumlah nilai keluaran barangan dan perkhidmatan setahun.

Langkah kita ke arah imbangan fiskal begitu mantap kerana kita kini mempunyai sebuah bajet yang kukuh menjelang 2020, dan besar kemungkinan sasaran bagi mengurangkan defisit fiskal kepada empat peratus tahun ini serta sasaran yang diunjurkan pada 2014 iaitu 3.5 peratus akan tercapai.

Kita sedang membina sebuah tapak yang ampuh bagi menyasar ekonomi mapan sambil memastikan penggunaan secara berhemah agar jumlah yang diperlukan untuk pembangunan infrastruktur dan peningkatan pendapatan diperoleh seiring dengan langkah meringankan beban golongan miskin.

Semua matlamat ini tidak akan tercapai dengan dua dasar yang berbeza, iaitu mempertingkatkan pendapatan negara dan pada masa yang sama, mengekang perbelanjaan.

Malah, jumlah perbelanjaan kerajaan pada 2014 dijangka meningkat kepada RM264.2 bilion, kenaikan yang kurang daripada dua peratus. Jelas, Kerajaan `bukan kemaruk berbelanja'.

Komitmen kerajaan

Satu lagi ciri Bajet baru-baru ini telah memperlihatkan komitmen kerajaan untuk melanjutkan program transformasi - bagi kerajaan dan juga ekonomi. Amat penting bagi kita meneruskan inisiatif pembaharuan strategik, contohnya langkah untuk memperkukuh undang-undang daya saing dan pemantapan modal insan agar ekonomi negara dilonjakkan ke tahap antarabangsa.

Kami telah mengenal pasti bidang keberhasilan utama negara seperti mengurangkan jenayah, membanteras rasuah dan mempertingkatkan pencapaian pelajar yang semuanya adalah isu yang paling dekat dengan nurani rakyat, kerana kami sedar bahawa harapan rakyat terletak kepada pencapaian kami.

Lihatlah juga 12 bidang keberhasilan ekonomi negara yang telah kami kenal pasti sebagai sektor ekonomi yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan negara. Sektor-sektor ini termasuklah Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan pendidikan - semua sektor yang akan mencergaskan lagi aktiviti ekonomi negara.

Sedang kita berhadapan dengan suasana ekonomi yang payah, kerajaan masih berjaya mengekalkan pencapaian ekonomi dengan sokongan sektor swasta. Jangkaan pertumbuhan tahun ini adalah setinggi 4.5 hingga 5.0 peratus dan diramalkan meningkat sehingga 5.0 hingga 5.5 peratus tahun depan, suatu angka yang memperlihatkan prestasi yang amat baik.

Malaysia mesra perniagaan

Baru-baru ini, kita telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila buat kali pertama, Bank Dunia telah meletakkan Malaysia di kedudukan sepuluh negara teratas dalam senarai negara paling mesra perniagaan di dunia.

Malaysia meloncat naik ke tangga keenam berbanding tahun lalu sewaktu kita berada di tangga ke-12 setelah pelaksanaan prosedur yang memudahkan pendaftaran syarikat, permohonan permit pembinaan dan permohonan mendapatkan bekalan elektrik, menurut bank itu dalam laporannya, "Doing Business" bagi 2014.

Prestasi yang sudah dibentangkan dalam bajet serta kedudukan negara kita di peringkat antarabangsa membuatkan kita bangga dengan pencapaian negara dan sewajarnyalah kita terus bangkit dan berusaha dengan segala daya upaya kita bagi mencapai status negara maju secara mampan dan menyeluruh.

Hal ini juga adalah bukti bahawa kerajaan sama sekali tidak mempersiakan janji-janji mereka terhadap rakyat.

* Penulis ialah Ketua Eksekutif di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri

No comments:

Post a Comment