GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 7, 2013

GST: Cukai pendapatan boleh turun sehingga 20 peratus


Oleh NUR NAZLINA NADZARI
ekonomi@utusan.com.my
PELAKSANAAN GST akan meningkatkan pendapatan kerajaan yang sekaligus mengurangkan
pergantungan negara kepada cukai korporat dan individu. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Cukai pendapatan korporat dan peribadi boleh mengalami penurunan sehingga kadar 20 peratus menjelang 2020 apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April 2015.

Pengerusi Taxand Malaysia, Dr. Veerinderjeet Singh berkata, GST merupakan cukai yang lebih stabil dan menjanjikan pendapatan lebih baik kepada negara, sehubungan itu kerajaan tentu akan mengkaji cadangan pengurangan cukai pendapatan di masa depan selepas pelaksanaannya.

Katanya, ini kerana Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain yang menawarkan cukai pendapatan korporat dan peribadi yang lebih rendah.

Pada masa ini, Malaysia masih lagi di belakang dengan cukai pendapatan korporat pada 25 peratus dan kadar paling tinggi cukai pendapatan peribadi pada 26 peratus, berbanding Thailand dan Vietnam yang sudah mula menurunkan cukai terbabit sehingga 20 peratus, ujarnya.

"Persaingan ini adalah bagi membawa lebih banyak pelabur ke negara ini. Jadi kita harus selari dengan negara-negara lain.

"GST akan menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing serta dapat menyediakan kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada seminar Bajet 2014 anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persatuan Akauntan Cukai Malaysia (MATA) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Veerinderjeet juga tidak menolak bahawa GST juga mungkin juga akan dinaikkan menjelang 2020 bagi mengimbangi penurunan dalam cukai pendapatan korporat dan peribadi.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan, Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) menggesa kerajaan supaya memberi perhatian kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkecuali daripada pelaksanaan GST.

Naib Pengerusi Komuniti Kaji Selidik Fiskal dan Ekonomi MCCC, Datuk Kevin Lai Tak Kua berkata, pengecualian industri PKS itu perlu dipertimbangkan bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"GST tidak dapat dinafikan akan memberi kesan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi rakyat Malaysia perlu melihat kepada kesan jangka panjang yang diyakini akan memberi impak positif kepada masyarakat juga negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang taklimat media tentang Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) 2013 di sini hari ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment