GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, April 14, 2014

TPPA beri kesan harga hartanah?


ARKIB : 13/04/2014
Oleh MIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 April - Harga rumah yang kini mahal kerana permainan spekulator tempatan dibimbangi akan melambung lebih tinggi dengan kemasukan spekulator asing apabila Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kelak.

Pengarah Penyelidikan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Azlan Awang berkata, apabila kerajaan menyertai TPPA, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak boleh lagi mengawal aliran keluar masuk wang dari luar negara untuk pelaburan di negara ini kerana antara klausa dalam perjanjian itu ialah aliran modal yang bebas.

“Ramai tidak mampu membeli rumah sekarang kerana rumah dijadikan satu barangan komoditi untuk dispekulasi. Itu baru spekulator tempatan kerana kelemahan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), kurangnya pengawalan penggunaan duit pasaran gelap dan kelonggaran pinjaman oleh institusi perbankan.

“Apabila tandatangani TPPA, wang yang besar akan datang dari luar negara. Pelabur asing boleh melabur dalam industri sebenar, pasaran saham dan hartanah. Ini akan mengakibatkan kenaikan harga rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Rakyat kesan TPPA dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas sektor perumahan anjuran Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini hari ini.

Selain Azlan, seorang lagi ahli panel dalam program yang dikendalikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan Universiti Selangor (Unisel), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Salleh itu ialah Pengarah Urusan Harakah, Dr. Rosli Yaakop.

Azlan juga berkata, aspek paling berbahaya dalam TPPA ialah pelabur asing boleh mengambil tindakan saman ke atas kerajaan Malaysia sekiranya membuat dasar atau peraturan yang memberikan kesan kepada mereka.

Katanya, pelabur asing juga tidak memfailkan saman itu di mahkamah tempatan sebaliknya di mahkamah antarabangsa yang salah satunya berada di New York, Amerika Syarikat (AS).

“Kalau mereka rasa dasar-dasar yang dibuat kerajaan untuk kepenti­ngan negara dari segi rakyat, alam sekitar, kesihatan, keselamatan dan sebagainya boleh memberi kesan kepada keuntungan, pendapatan atau nilai pelaburan jangka panjang, mereka boleh saman kita di mahkamah antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu meneliti dan memahami kesan-kesan tersebut sebelum mengambil keputusan menyertai TPPA.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment