GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, April 16, 2014

GST: Peniaga perlu manfaat geran RM250j


2014/04/16 - 06:43:56 AM

Komuniti perniagaan perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan geran latihan dan bantuan kewangan berjumlah RM250 juta yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan pemahaman dan kelancaran operasi apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan mulai 1 April 2015.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata daripada jumlah itu, RM100 juta diperuntukkan untuk geran latihan kepada syarikat bagi menjalani latihan GST secara percuma.

Katanya, baki RM150 juta lagi adalah bantuan kewangan yang disediakan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi pembelian perisian GST, dengan peruntukkan RM1,000 untuk setiap syarikat.

"Syarikat dan peniaga perlu proaktif untuk mendaftar dengan Jabatan Kastam bagi mendapatkan latihanGST secara percuma dan bantuan kewangan pembelian perisian bagi PKS.

"Kerajaan sudah menyediakan bantuan kewangan dan latihan untuk syarikat di negara ini menyiapkan diri untuk pelaksanaan GST dan tidak ada alasan untuk mereka tidak merebut peluang itu," katanya selepas merasmikan pembukaan Pusat Kecemerlangan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa hanya 10 peratus daripada 250 peruncit di bawah Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) bersedia menghadapi pelaksanaan GST.

Latihan untuk GST

Ahmad berkata, latihan mengenai GST dikendalikan pegawai kastam dan pasukan GST Kementerian Kewangan, merangkumi penerangan secara terperinci struktur dan pelaksanaan cukai itu, manfaat diperoleh syarikat serta perbezaan GST berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Katanya, komuniti perniagaan perlu menghubungi jabatan kastam di peringkat negeri dan ibu pejabat atau melayari laman web www.gst.customs.gov.my bagi mendapatkan latihan percuma GST dan bantuan kewangan bagi pembelian perisian.

Mengenai pembelian perisian GST, beliau berkata, PKS boleh membeli perisian itu daripada 55 syarikat yang dilantik kerajaan untuk mengeluarkan perisian khusus itu.

"Kerajaan akan melantik beberapa lagi syarikat untuk perisian berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan menyasarkan 75 peratus penduduk Malaysia akan mempunyai insurans menjelang 2020, sejajar dengan matlamat mencapai status negara maju.

Pada tahun lalu, katanya, 53.1 peratus daripada rakyat Malaysia dilindungi sama ada insurans peribadi atau keluarga berbanding 40.9 peratus pada 10 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment