GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, April 14, 2014

Dua hari bahas GST sudah memadai


11 April 2014

Tan Sri Abu Zahar Ujang
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata tempoh masa selama dua hari bagi membahaskan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Parlimen baru-baru ini adalah mencukupi.

Katanya semua Ahli Parlimen seharusnya memanfaatkan tempoh masa yang ditetapkan dewan bagi mengutarakan hujah-hujah penting serta pandangan secara bijak semasa sesi perbahasan itu.

"(Sebaliknya) Banyak masa dibuang dengan bangun mencelah, bertekak dan bercakap perkara-perkara yang tidak patut," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) termasuk anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mempersoalkan tempoh dua hari membahaskan Rang Undang-undang GST adalah tidak mencukupi sebelum diluluskan pada Isnin lepas. 

Abu Zahar berkata, seseorang Ahli Parlimen haruslah memahami serta mematuhi peraturan mesyuarat dewan supaya ia dapat berjalan dengan lancar dan aman.

Berkongsi pengalamannya ketika melawat persidangan Parlimen di Jepun dua tahun lepas, Abu Zahar melahirkan rasa kagum terhadap Ahli Parlimen negara itu yang sangat tertib ketika ingin bangun mengutarakan pandangan mereka.

"Walaupun Ahli Parlimen pembangkang sekali pun, sebelum bercakap mereka meminta izin daripada Speaker terlebih dahulu, tidak pernah wujud situasi yang mana mereka saling bertekak dan mewujudkan ketegangan dalam dewan," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lepas meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi. 

Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi. - Bernama

No comments:

Post a Comment