GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, April 16, 2014

Bendung harga barang - PM


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak bersalaman dengan warga kerja Kementerian Kewangan selepas
menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di
Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA 15 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mesti membendung kenaikan harga barang supaya rakyat tidak merasa gelisah dengan tekanan seumpama itu.

Beliau berkata, sememangnya kerajaan tidak pernah memandang ringan dalam isu melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat apatah lagi berkaitan dengan soal kos saraan hidup.

“Segala-gala yang perlu dilakukan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat juga harus diambil perhatian oleh kerajaan, misalnya bagaimana kita mahu terus tangani soal kos saraan hidup.

“Ini jangan kita pandang ringan. Kita mesti bendung kenaikan harga supaya rakyat tidak terasa gelisah dengan tekanan-tekanan seperti ini,'' katanya demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Selain itu Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian semula terhadap beberapa program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan tujuan untuk penambahbaikan juga perlu dilakukan.

“Saya percaya masih ada ruang lagi untuk tujuan itu termasuk bagaimana kita boleh tambahkan lagi peruntukan kewangan,'' kata Perdana Menteri lagi.

Najib turut mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak terpengaruh dengan dasar yang begitu populis terutama dalam isu berkaitan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Kita mesti yakin bahawa langkah ke hadapan seterusnya ialah melalui GST dalam usaha kita menentukan masa depan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat namun masih ada lagi pihak yang disebabkan politik dan atas platform politik menentang walhal ini untuk kebaikan rakyat,'' ujarnya.

Menyentuh isu sama beliau berkata, sesi penerangan mengenai GST kepada rakyat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan secara berterusan telah berjaya meningkatkan kefahaman mereka berhubung kepentingan GST terhadap ekonomi negara.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment