2014/04/12 - 18:59:06 PM
KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji impak ekonomi ke atas hubungan pelaburan dan perdagangan dengan negara China berikutan insiden kehilangan penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak awal bulan lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jawatankuasa yang diputuskan Kabinet semalam itu dianggotai oleh kementeriannya, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
"Jawatankuasa khas ini akan melihat secara menyeluruh keadaan semasa dengan menyediakan strategi-strategi terbaik termasuk dari segi komunikasi untuk memastikan perkembangan pelaburan dan dagangan dengan China dapat diteruskan pada masa depan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Outreach Bahagian Pembangunan Keusahawanan (BPU) anjuran MITI di sini, hari ini.
Mustapa berkata, Malaysia yakin hubungan pelaburan dan perdagangan dengan negara itu akan terus mantap bersandarkan kepada hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak 40 tahun lalu.
Beliau berkata, kementerian setakat ini belum melihat sebarang tanda kemerosotan aktiviti pelaburan dan perdagangan membabitkan China di negara ini kecuali dari sudut pelancongan yang mengalami kesan ketara kerana ketidakpuasan hati rakyat negara itu berhubung tragedi pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Mustapa juga berkata, pelaburan di Sabah khususnya di kawasan pantai Timur seperti Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata rakyat Filipina di Kampung Tanduo, pada 12 Februari tahun lalu dan penculikan dua warga asing di Singgamata Adventures Reef Resort dekat Semporna, pada 2 April lalu.
"Kesan sedikit ada tetapi ia tidak membimbangkan kerana kerajaan pusat komited dan kita yakin kerajaan pusat akan membuat sesuatu perubahan radikal dari segi aset software dan orangnya agar dapat memainkan peranan dalam menjaga keselamatan di Sabah," katanya.
Mengenai program Outreach sehari itu, katanya Sabah adalah lokasi pertama dalam siri Program Outreach BPU dan akan dianjurkan di Kedah, Pahang, Terengganu dan Sarawak.
Katanya, program itu akan memberi penekanan kepada aspek berhubung dan berbincang dengan ASEAN serta memberi taklimat mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) selain memaklumkan program pembangunan keusahawanan Bumiputera yang dianjurkan BPU, MITI dan agensi di bawahnya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment