GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, April 14, 2014

`Blue Wave' lawan `Red Bean'


Publication: BH
Date of publication: Apr 14, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Syalikha Sazili

Kuala Lumpur: Tentera siber Barisan Nasional (BN) dengan gelaran Blue Wave Army (BWA) akan diwujudkan bagi menjawab fitnah dan tohmahan yang dicipta dan disebarkan Red Bean Army (RBA) yang dikaitkan dengan pembangkang.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan, berkata penubuhan BWA bagaimanapun masih di peringkat cadangan, namun ia dilihat sebagai saluran efektif dan berperanan penting dalam mengemukakan fakta sahih serta memberi penjelasan kepada rakyat bagi menjawab serta mematahkan hasutan RBA di ruang siber.

Burukkan imej kerajaan

"Kita akan serahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi meneliti langkah seterusnya yang perlu diambil. Selama ini, ia (tentera siber) sudah ada dalam rangkaian, parti sentiasa berusaha menangkis segala tohmahan yang dilempar pembangkang dalam cubaan memburukkan imej kerajaan.

"Ia juga dapat memberikan penjelasan yang sahih kepada masyarakat dalam isu yang sering diputarbelitkan pembangkang seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Kita tidak akan ikut jejak mereka dengan memfitnah, sebaliknya kita ceritakan kebenaran.

"Kalau mereka serang kita, kita kena jawab, jangan biarkan mereka serang kita begitu saja," katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan selepas merasmikan Konvensyen UMNO Bahagian Cheras, di sini, semalam.

Pada program itu, Ahmad turut memberi penerangan berhubung GST yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2015, selain menjawab soalan penduduk berhubung isu semasa.

Dalam penjelasannya, beliau berkata, pelaksanaan GST tidak akan ditangguhkan walaupun ada desakan daripada pembangkang termasuk mahu menganjurkan perhimpunan 1 Mei ini bagi membantah cukai terbabit.

GST lebih telus

"Sistem GST lebih telus dan digunakan banyak negara maju. Sudah beberapa kali kita tangguh pelaksanaannya dan kali ini juga, kita beri masa yang cukup panjang sebelum nak laksanakan.

"Kalau ada yang kata GST akan menyebabkan harga barang naik, itu tidak munasabah. Ramai tidak sedar apabila GST dilaksanakan, kita hanya bayar satu cukai saja pada kadar lebih rendah berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang perlu dibayar dua kali pada kadar lebih tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment