GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, April 14, 2014

GST: Kenapa tak cukai syarikat monopoli dan jutawan?


Zefry Dahalan | April 12, 2014

Ada tiga jenis cukai yang kerajaan boleh laksanakan untuk menambah pendapatan kerajaan, kata Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

SEREMBAN: Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mempertikaikan kenapa kerajaan tidak mengenakan cukai kepada orang kaya sebelum kenakan cukai terhadap orang miskin.

“Apabila kita tanya kenapa bebankan rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kerajaan kata sebanyak 162 negara sudah melaksanakan GST.

“Kalau itu hujah kerajaan, kenapa kerajaan tidak tiru jenis-jenis cukai yang dikenakan oleh negara lain?

“Ada tiga jenis cukai yang kerajaan boleh laksanakan untuk menambah pendapatan kerajaan.

“Windfall tax atau cukai durian runtuh merupakan cukai yang dikenakan kepada syarikat-syarikat yang memonopoli sesuatu bidang perniagaan.

“Malaysia ada industri yang dimonopoli, Astro contohnya. cukai durian runtuh dikenakan kepada syarikat dalam sesuatu industri yang untungnya berlipat kali ganda.

`Cukai maha kaya’

“Superich tax atau cukai maha kaya pula dikenakan kepada individu-individu yang sangat kaya yang bertaraf jutawan.

“Sekarang rakyat biasa seperti saya dan tuan-tuan membayar cukai pendapatan sebanyak 24 peratus. Tetapi jutawan juga membayar cukai pendapatan sebanyak 24 peratus.

“Di negara-negara luar mereka yang tersangat kaya dikenakan kadar cukai pendapatan yang lebih tinggi berbanding rakyat biasa, supaya mereka ini dibezakan dengan rakyat kebiasaan atau golongan kelas menengah.

“Yang ketiga ialah capital gain tax iaitu cukai yang dikenakan kepada individu yang menambah kekayaan. Contohnya individu-individu yang buat duit dengan membeli saham dan membeli tanah. Apabila nilai saham dan tanah yang mereka labur meningkat, kekayaan dan aset mereka juga meningkat.

“Kamu (kerajaan) kalau nak kutip cukai untuk negara, kamu kutip dari orang kaya,” kata Rafizi.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian di hadapan lebih 3, 000 penyokong Pakatan Rakyat di siri jelajah Reformasi 2.0 di Seremban malam kelmarin.

Turut berucap ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook.

Walaubagaimanapun pemimpin yang dinanti-nanti, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak muncul dan difahamkan beliau kurang sihat dan doktor menasihatkan beliau agar berehat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengantikan tempat beliau sebagai penceramah terakhir.

No comments:

Post a Comment