GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, April 14, 2014

Perkukuhkan tulisan jawi - Gagasan


ARKIB : 13/04/2014
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 12 April - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa Kementerian Pendidikan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperkukuhkan tulisan jawi bersama Utusan Melayu (M) Bhd.

Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, kerjasama itu adalah bagi mencari jalan untuk mendapatkan dana agar sisipan jawi dapat dicetak semula oleh syarikat akhbar itu.

“Ini adalah bagi membolehkan pelajar terutamanya di luar bandar yang sukar mendapatkan akses Internet dengan melayari sisipan itu secara dalam talian mempelajarinya daripada sisipan itu," katanya selepas menghadiri Persidangan Agung Tahunan Gagasan Ke-4 di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Katanya, kerjasama itu merupakan antara enam usul yang diluluskan dalam persidangan tersebut.

Syed Anuar berkata, melalui usul kedua, Gagasan turut mencadangkan agar kementerian itu memasukkan unsur-unsur sejarah tulisan jawi dalam mata pelajaran Sejarah tingkatan lima.

Katanya, usaha tersebut adalah bagi membolehkan generasi muda memahami asal usul tulisan itu di negara ini, sekali gus menimbulkan rasa cinta terhadap tulisan berkenaan.

Antara usul lain yang dicadangkan ialah kajian terperinci oleh kerajaan bagi melaksanakan sekolah satu sistem menggunakan bahasa kebangsaan berikutan sekolah kebangsaan sedia ada dianggap gagal mewujudkan perpaduan antara kaum.

Kata Syed Anuar, Gagasan turut menyokong pelaksana­an Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada tahun depan dan akan membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan mengadakan pelbagai program berkaitan.

“Gagasan juga memohon kerajaan untuk mengkaji semula sistem pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) berdasarkan meritokrasi, ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar yang berkelayakan dan tidak berkemampuan dari luar bandar untuk mendapat tempat di IPT," katanya.

Usul terakhir, Gagasan mendesak kerajaan agar tidak melayan pelbagai tuntutan yang dianggap biadab daripada Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) termasuk permohonan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Sementara itu, Gagasan turut melahirkan kekesalan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana gagal mengambil pendekatan untuk mengesan penularan Red Bean Army (RBA) di laman sosial.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi membendung penularan RBA.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment