Publication: BH
Date of publication: Apr 14, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008
Kota Bharu: Pembangkang harus menjadikan kejayaan 160 negara yang sudah menguatkuasakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai panduan terbaik untuk bersama-sama menyokong dan membantu mengukuhkan kestabilan negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sejak melaksanakan sistem cukai berkenaan, semua negara terbabit tidak berhadapan sebarang masalah, malah terus menikmati kemajuan.
"Kita perlu lihat dari sudut lebih luas dan jangka panjang mengenai GST, terutama ke arah kestabilan negara, bukan terpengaruh kepada kehendak satu pihak saja.
"Sehingga kini tiada sebarang masalah pun dihadapi 160 negara yang melaksanakan GST. Di Malaysia, pembangkang menolaknya, seolah-olah hanya kita satu-satunya negara yang mahu melaksanakan sistem percukaian terbabit.
Sudah ada contoh
"Memanglah mustahil untuk mendapatkan persetujuan pembangkang 100 peratus mengenai GST, namun kita sudah ada contoh 160 negara yang menjayakannya," katanya di sini, semalam.
Pada sesi perbahasan rang Undang-undang mengenai GST di Parlimen baru-baru ini, 81 ahli Parlimen pembangkang menolak sistem cukai berkenaan, namun 118 ahli Parlimen lain menyokong.
Tindakan pembangkang itu tidak selari dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang menegaskan pakatan terbabit tidak pernah menolak pelaksanaan GST.
Mustapa berkata, dari segi prosedur pelaksanaan GST, semua sudah selesai apabila rang undang-undang itu mendapat sokongan besar dan diluluskan oleh Parlimen, sekali gus membolehkan pelaksanaannya dimulakan 1 April tahun hadapan seperti ditetapkan.
No comments:
Post a Comment