GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, April 16, 2014

Proses transformasi ekonomi tidak dihentikan


PUTRAJAYA 15 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, proses transformasi ekonomi negara mesti diteruskan walaupun Malaysia terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko ekoran pemulihan ekonomi dunia yang begitu perlahan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan sebarang bayangan bahawa proses tersebut perlu dikaji semula atau diperlahankan hanya akan memberi isyarat yang begitu negatif kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu katanya, amat penting bagi Malaysia meningkatkan ketahanan dalaman ekonomi dengan mengambil langkah-langkah tertentu selari dengan pembaharuan yang dirancang supaya kedudukan kewangan negara semakin mantap dan kukuh.

“Baru-baru ini Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde membuat kenyataan bahawa ekonomi dunia walaupun sudah pulih tetapi pemulihannya terlalu perlahan dan terlalu kecil dan kita masih berdepan dengan pelbagai risiko.

“Sebab itu langkah-langkah perlu diambil seperti konsolidasi fiskal dan rasionalisasi subsidi termasuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mana semua ini dilakukan dengan cara yang berhemah serta tidak keterlaluan dengan tidak membebankan rakyat,'' katanya dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Perdana Menteri berkata, segala langkah yang diperkenalkan itu semata-mata mahu memastikan kedudukan ekonomi negara berada pada landasan yang betul sekali gus membolehkannya mencapai pertumbuhan dalam lingkungan lima peratus pada tahun ini.

Beliau yakin melalui cara seperti itu, Malaysia mampu menunjukkan kemampuannya untuk bersaing dan atas faktor tersebut juga negara memerlukan kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi.

“Jika tidak ada pertumbuhan ekonomi maka masalah kita akan bertambah lebih berat dan jika kita hendak melakukan apa sahaja termasuk konsolidasi fiskal tanpa pertumbuhan atau rangsangan ekonomi yang baik, cabaran ini akan menjadi lebih rumit.

“Sebab itu komitmen kita adalah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dalam lingkungan lima peratus, mungkin lebih sedikit, mungkin kurang sikit tetapi dalam lingkungan lima peratus yang mana tahun lepas kita mendapat 4.7 peratus. Pada tahun ini mudah-mudahan kita mendapat lebih daripada itu,'' ujarnya.

Kata beliau, fundamental seperti itu akan menampakkan kesungguhan serta iltizam politik yang begitu tinggi dan secara langsung keyakinan dunia termasuk agensi penarafan kepada Malaysia akan bertambah positif.

“Kita perlu pastikan pencapaian ini. Sebab itu kadar pertumbuhan sedemikian rupa mesti kita usahakan melalui pengurusan ekonomi dan dasar kewangan negara yang tepat,'' katanya..

Dalam perkembangan berkaitan Perdana Menteri berkata, selain pemulihan ekonomi dunia yang begitu kecil, cabaran lain yang terpaksa di hadapi oleh Malaysia ialah kadar pertumbuhan negara China yang semakin perlahan dan juga proses pertumbuhan yang lebih tertumpu kepada kepenggunaan dan bukan lagi eksport.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment