GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, April 16, 2014

BR1M: Perlu penilaian risiko


Oleh MOHAMMAD AL FAIZAL ABDUL KARIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 April - Kerajaan perlu melaksanakan penilaian risiko terhadap program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya tiada pihak yang menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan peri­badi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pihaknya mengalu-alukan jika kerajaan melihat aspek penilaian risiko secara sistematik dan melaksanakannya dengan pelan yang berkaitan sebagai sokongan.

“Penilaian risiko perlu diberi perhatian bagi mengurangkan ketirisan bukan sahaja dalam program-program bantuan kewangan seperti BR1M, tetapi juga bantuan dan dasar-dasar yang membantu rakyat seperti Azam 1Malaysia serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan Wacana Kelestarian Integriti di Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dekat Bangi yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md. Akin sebelum ini meminta Kementerian Kewangan membentangkan kajian penilaian risiko di Dewan Rakyat berhubung kaedah pengagihan wang BR1M bagi memastikan bantuan itu tidak diseleweng atau tersalah bayar serta bagi menunjukkan tiada penipuan dalam bantuan berjumlah berbilion ringgit itu.

Menurut Abu Kassim, sekiranya penilaian risiko tidak dilaksanakan, maka ada sahaja pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap kebaikan kerajaan.

Katanya, bukan sahaja pelaksana, malah penerima juga boleh mengambil kesempatan dengan menggunakan niat baik kerajaan untuk mendapatkan keuntungan.

“Kerajaan membuat program untuk membe­la dan membantu rakyat contohnya seperti BR1M. tetapi sekiranya tidak membuat penilaian risiko maka ada sahaja pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap kebaikan kerajaan.

“Memberi tumpuan terhadap penilaian risiko adalah untuk melihat kemungkinan berlaku penipuan semasa pelaksanaan, bukan semasa pembentukan dasar kerana dasar sudah betul, cuma masa pelaksanaan terdapat pelbagai risiko," katanya.

Pada Sabtu lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah menegaskan, kemungkinan untuk berlaku penyelewengan atau tersalah bayar dalam pengagihan BR1M adalah terlalu minimum kerana kerajaan mempunyai pangkalan data yang kukuh.

Katanya, setiap permohonan BR1M ditapis serta diperiksa dari pelbagai sudut termasuk disemak dengan LHDN dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima bantuan tersebut.

“Mengikut kajian kita, tidak ada laporan tersalah bayar atau penyelewengan dalam pengagihan BR1M 2.0 dan BR1M 3.0 kerana kita sudah mempunyai pangkalan data yang kukuh dan setiap permohonan telah diperiksa balas," tegasnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment