Program transformasi ekonomi yang dirancang perlu diteruskan untuk elak memberi isyarat negatif kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Gambar fail. |
Datuk Seri Najib Razak berkata program transformasi ekonomi (ETP) yang dirancang perlu diteruskan, dan sebarang bentuk kajian semula mengenainya akan memberi isyarat negatif kepada ekonomi negara.
Perdana menteri berkata, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah baik untuk ekonomi dan negara tidak boleh bergantung dengan dasar yang begitu populis.
"Misalnya dunia tahu GST baik untuk ekonomi sesebuah negara, kita semua yakin langkah ke depan adalah melalui GST yang boleh menentukan masa depan ekonomi negara kita dan kesejahteraan rakyat," katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini.
"Tetapi masih ada pihak, kerana politik, yang mengambil platform populis menentang, walhal ini adalah untuk kebaikan rakyat.
"Kita akui tahun pertama mungkin ada kenaikan sikit, tetapi itu sekali dan tidak terlalu berat, dan kita ada langkah tertentu untuk tidak terlalu membebankan rakyat, dan yang penting asas kewangan negara akan lebih kukuh dan mantap," katanya.
Najib yang juga menteri kewangan berkata, langkah yang diambil kerajaan seperti konsolidasi fiskal, rasionalisasi subsidi, termasuk langkah memperkenal GST perlu dilakukan.
Katanya, langkah ini perlu dilakukan dengan kaedah berhemat dan tidak keterlaluan daripada segi pelaksanaannya, atau dalam erti kata lain tidak membebankan rakyat.
"Kita mesti melakukan langkah ini supaya kedudukan kewangan negara semakin mantap dan semakin kukuh. Apabila fundamental seperti ini menampakkan kesungguhan dan iltizam politik kita, maka keyakinan dunia, termasuk agensi penarafan terhadap kita akan bertambah positif lagi," katanya.
Najib berkata, beliau yakin dan percaya cara sebegini akan dapat menunjukkan kemampuan Malaysia untuk bersaing dengan negara luar kerana negara memerlukan kepada kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi.
"Kalau tidak ada pertumbuhan ekonomi, masalah kita akan bertambah berat, kalau kita hendak lakukan apa sahaja, termasuk konsolidasi fiskal tanpa pertumbuhan ekonomi yang baik dan merangsangkan, cabaran ini akan menjadi lebih rumit lagi.
"Sebab itu komitmen kita untuk mencapai dalam lingkungan 5% mungkin kurang sikit atau lebih sikit. Tahun lalu, kita dapat 4.7%, tahun ini mudah-mudahan kita mungkin dapat lebih daripada itu," katanya.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, Putrajaya mengumumkan beberapa langkah, sebahagian daripada tujuan rasionalisasi subsidi.
Pertama, subsidi minyak dipotong, menyebabkan kos barang dan perkhidmatan meningkat.
Kemudian Najib mengumumkan Putrajaya akan berhenti memberi subsidi gula, yang meningkatkan lagi harga barang.
Tarif elektrik juga meningkat dan rakyat semakin marah apabila Putrajaya mencadangkan kenaikan kadar tol.
Pada malam tahun baru, beribu rakyat Malaysia yang marah berkumpul di Kuala Lumpur dan berarak ke arah Dataran Merdeka.
Mereka menyuarakan kemarahan mereka dengan kos sara hidup yang meningkat semasa Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai pembaziran dan kebocoran dalam sektor awam. – 15 April, 2014.
No comments:
Post a Comment