GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, April 17, 2014

GST lebih cekap, telus, mesra perniagaan


Publication: BH
Date of publication: Apr 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Dr Mohamad Saprin

Rang Undang-Undang GST 2014 sudah pun diluluskan Dewan Rakyat melalui pengundian secara blok selepas bacaan pertama dan keduanya dibahas baru-baru ini. Selepas diluluskan, tiada perdebatan pada peringkat jawatankuasa atau bacaan ketiga kerana tiada pihak yang mahu mengemukakan sebarang pindaan ke atas rang undang-undang itu.

Fasa seterusnya akan dibahaskan di Dewan Negara. Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan diwartakan sebagai undang-undang GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April tahun depan.

Walaupun wujud penentangan oleh beberapa pihak, ia tidak menghalang kerajaan untuk melaksanakanGST.

Sejak rang undang-undang GST ini dibentangkan di Parlimen, ia tidak sunyi daripada kebimbangan atau kritikan pelbagai pihak.

Dari satu segi, kritikan untuk melaksana GST ini ada baiknya. Melalui kritikan itulah potensi kelemahan yang mungkin wujud dapat diperbaiki. Pihak yang mengkritik GST sememangnya tahu bahawa GST adalah sistem percukaian yang baik.

Elemen percukaian baru itu lebih telus, adil dan berwibawa dibandingkan dengan sistem pungutan cukai sedia ada. Umum mengetahui bahawa GST ialah cukai kepenggunaan. Ini bermakna, cukai hanya dibayar apabila sesuatu barangan atau perkhidmatan digunakan. Jika barangan atau perkhidmatan itu tidak digunakan, seseorang itu tidak perlu membayarnya.

Kritikan bahawa GST dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana kewangan kerajaan sudah hampir muflis tidaklah tepat. Kerajaan berhasrat memperkenalkan GST ini sejak hampir sepuluh tahun lalu. Pada masa itupun, kebanyakan negara sudah beralih kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan ini.

Persiapan sejak 2005

Negara kita amnya sudah mula membuat persiapan melaksanakan GST ini sejak tahun 2005 lagi. Pasukan petugas khas GST ditubuhkan di peringkat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai agensi hadapan dalam pelaksanaan GST dan Kementerian Kewangan.

Pasukan petugas ini membuat kajian perbandingan di beberapa buah negara di seluruh dunia yang mengamalkan GST. Perintah, peraturan dan akta yang akan diguna pakai apabila GST dilaksana di negara ini kelak turut digubal. Sistem perkomputeran GST direka bentuk untuk memudahkan orang ramai berurusan dengan pengendali GST secara elektronik dan mesra pelanggan.

Melalui GST, kerajaan akan memiliki sumber hasil lebih berdaya saing dan boleh diramal. Keadaan ini akan men-dorong kerajaan menyalurkan lebih banyak dana bagi pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Program kesedaran GST telah lama dibuat secara agresif oleh kerajaan melalui agensi pelaksana. Pelaksanaannya dalam tempoh lebih setahun lagi akan memberi peluang kepada komuniti perniagaan untuk membuat persediaan dari segi infrastruktur, klasifikasi status produk, cukai output atau pengurusan model perniagaan masing-masing.

Pada masa yang sama ia memberi ruang untuk rakyat memahami struktur percukaian GST ini. Program dialog, seminar, promosi dan lain-lain berkaitan GST di seluruh negara digerakkan secara agresif. Banyak pihak memberikan pandangan mengenai GST. Kerajaan menerima pandangan umum mengenai GST ini sebelum pelaksanaannya sebagai elemen penambahbaikan secara berterusan.

Tanggapan bahawa GST adalah satu bentuk cukai baru yang membebankan rakyat perlu juga diperbetulkan. Pada masa ini GST adalah sistem percukaian yang popular di seluruh dunia. Lebih 90 peratus rakyat di dunia ini tinggal di negara yang mengamalkan GST.

Di sesetengah negara, cukai ini tidak dinamakan sebagai GST tetapi dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT). Namun, konsep percukaiannya sama iaitu cukai yang dikenakan terhadap nilai tambah barangan atau perkhidmatan pada setiap peringkat pengilangan dan rantaian pengagihan. Di rantau ASEAN, hanya Malaysia, Brunei dan Mynmar sahaja yang masih belum melaksanakan GST.

Kebanyakan negara sudah melaksanakan peralihan cukai sedia ada kepada cukai kepenggunaan ini. Negara yang terlalu bergantung kepada cukai selain GST boleh terjejas jika berlaku keadaan ekonom i b er ubah sedangkan cukai bercorak kepenggunaan tidak berubah. Ini kerana GST lebih mantap dan stabil berbanding dengan sistem cukai lain.

Aktiviti ekonomi yang bersaing dikenakan kadar cukai dalam bentuk yang sama. Sektor pelancongan akan lebih pesat kerana pelancong menikmati skim bayaran balik cukai ke atas pembelian barangan dan perkhidmatan.

Komuniti perdagangan juga boleh menuntut cukai input di bawah skim fasilitasi GST. Pelaburan langsung asing (FDI) juga boleh diperhebatkan kerana disokong oleh iklim mudah perniagaan negara.

Dikelirukan pihak tertentu

Dengan demikian kritikan yang dilemparkan terhadap pelaksanaan GST lebih didorong oleh persepsi semata-mata. Pihak yang tidak bersetuju terhadap pelaksanaan GST tahu manfaat yang diperoleh melalui pelaksanaannya. Namun, oleh kerana GST ini mencuri perhatian orang ramai, ia dikelirukan bagi kepentingan kelompok tertentu.

Seruan kerajaan supaya pelaksanaan GST dilihat secara holistik wajar disambut oleh semua lapisan masyarakat kerana pulangannya dalam bentuk cukai nanti digunakan untuk kemakmuran negara. Pada masa ini ada dua cukai kepenggunaan iaitu Cukai Perkhidmatan dan Cukai Jualan.

Cukai Jualan dikenakan di bawah Akta Cukai Jualan 1972 pada kadar standard 10 peratus. Cukai Perkhidmatan yang diperkenalkan menerusi Akta Cukai P e rk h id m at a n 1975 dikenakan kadar cukai sebanyak enam peratus. Selepas GST dilaksanakan, Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan itu akan dihapuskan.

Rang undang-undang GST telah memutuskan bahawa kadar GST ialah sebanyak enam peratus. Kadar ini adalah kadar yang terendah dalam kalangan negara ASEAN. Sebanyak 160 buah negara lain yang melaksana GST mengenakan kadar cukai antara 10 peratus hingga 12 peratus.

Negara jiran kita pun mengenakan kadar GST sebanyak tujuh peratus. Justeru, kenyataan bahawa pelaksanaan GST akan menindas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana perlu diperbetulkan.

Tambahan pula, GST belum dilaksanakan sepenuhnya. Oleh itu kebaikannya masih belum dirasai lagi. Memberikan persepsi buruk terhadap pelaksanaan GST pada peringkat ini tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara.

Rakyat juga sedar bahawa dalam GST, cukai dibayar apabila pengguna berbelanja. Dengan yang demikian,GST akan dapat mendidik orang ramai atau pengguna supaya berbelanja secara lebih berhemah. Kepada pengguna yang keberatan untuk membayar lebih GST, permintaan ke atas barangan atau perkhidmatan yang tertakluk kepada GST akan dihadkan. Perbelanjaan ke atas barangan atau perkhidmatan berkenaan boleh dihadkan perbelanjaannya mengikut keperluan sahaja.

Golongan berkemampuan bayar lebih

Konsep GST adalah mudah iaitu sebagai satu bentuk cukai penggunaan, lebih banyak sesuatu barangan atau perkhidmatan itu dipakai atau digunakan, lebih banyak cukai yang perlu dibayar.

Golongan lebih berkemampuan, umumnya akan lebih banyak menggunakan barangan atau perkhidmatan dibandingkan dengan orang lain, justeru mereka akan membayar lebih cukai dan secara langsung memberi sumbangan kepada peningkatan hasil negara. Ini akan lebih mensejahterakan rakyat secara keseluruhannya.

Di bawah pentadbiran Kastam moden hari ini, Cukai Perkhidmatan dan Cukai Jualan dikategorikan sebagai cukai berganda. Berasaskan kepada penguatkuasaan di bawah Cukai Jualan misalnya, pengguna terpaksa membayar harga lebih mahal kerana Cukai Jualan sebahagian daripada kos negara yang akan dimasukkan ke dalam elemen harga jualan.

Cukai Perkhidmatan pula dikenakan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna. Pengguna tanpa mengira kelas pendapatan dikenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan ke atas perbelanjaan harian. Sering kali cukai yang dikenakan itu terutama Cukai Jualan tidak tercatat jumlahnya dalam resit kerana ia terselindung di sebalik harga bayaran. Dengan terlaksananya GST kelak, beban cukai ditanggung boleh diturunkan.

Kajian mendapati Indeks Harga Pengguna (HIP) berpotensi untuk mengalami penurunan sebanyak lapan hingga 10 peratus kerana dalam keadaan tertentu kebanyakan barangan dan perkhidmatan yang digunakan akan mengalami penurunan harga.

Kajian secara empirikal ke atas 689 senarai barangan pengguna juga telah dibuat. Hasil kajian mendapati hanya 10 peratus daripada senarai barangan pengguna mungkin mengalami sedikit kenaikan harga. Kajian juga menunjukkan 90 peratus daripada senarai barangan pengguna sama ada tiada perubahan harga atau harga dapat diturunkan.

Beberapa kategori barangan atau perkhidmatan tidak akan dikenakan GST. Barangan makanan asas tidak dikenakan GST mempunyai potensi untuk diturunkan harga. Tiada beban kewangan dikeluarkan oleh orang ramai atas perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan seperti pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan, jual beli dan sewaan rumah kediaman dan perkhidmatan kewangan terpilih kerana dikecualikan cukai dalam pelaksanaan GST.

Dalam hal ini isu akan berlaku kenaikan harga secara drastik apabila GST dilaksanakan atau GST suatu bentuk cukai yang baru yang menzalimi rakyat tidak wajar dibangkitkan.

Kawal kesan berantai

Kerajaan juga mempunyai mekanisme tertentu untuk mengawal kesan berantai pelaksanaan GST. Akta mengenai GST memperuntukkan seksyen kawalan dan penguatkuasaan terhadap pelaksanaannya.

Penguatkuasaannya diimbangani oleh lain-lain peruntukan akta seperti Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 yang melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Begitu juga Akta Persaingan 2010 akan membolehkan pengguna menikmati persaingan sihat yang bertujuan menghalang sebarang amalan monopoli dalam kalangan industri sehingga boleh memberi kesan kepada pengguna, terutama berkaitan bekalan dan penetapan harga.

Kesimpulannya, GST akan menjadi instrumen memperkemaskan struktur cukai yang dilaksanakan ketika ini menjadi lebih cekap, telus dan mesra perniagaan selain memperluaskan lagi asas pendapatan negara. Pelaksanaan GST ini sudah pun mengambil kira kepentingan rakyat dan dalam masa yang sama mendisiplinkan rakyat menjadi pengguna yang bijaksana dan berhemah.

* Penulis ialah Ketua Cawangan Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Johor

No comments:

Post a Comment