GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, October 21, 2013

`Peluang Mukhriz tak lebih 50 peratus'



Publication: HM
Date of publication: Oct 19, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 011

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan peluang anaknya Datuk Mukhriz untuk dipilih memegang jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO hari ini, sebagai tidak melebihi 50 peratus.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, faktor bukan calon pilihan menjadi antara punca Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah tidak terpilih, apatah lagi jawatan itu bakal menyaksikan berlakunya pertandingan enam penjuru.

"Peluang dia hanya 50-50 atau mungkin kurang daripada itu kerana Mukhriz bukanlah calon pilihan, apatah lagi dia adalah pemimpin cuba membawa sesuatu yang berlainan yang mungkin tidak disukai orang.

"Ada juga yang mengatakan dia masih muda, umurnya baru 49 tahun, tetapi saya tidak melihat itu sebagai faktor kerana pemimpin UMNO terdahulu juga biasa ditonjolkan dengan kepemimpinan pada usia masih muda seperti Tun Abdul Razak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Majlis Hari Raya Aidiladha dan pelancaran Tabung Pelaburan Ummah Bhd serta soal jawab bertema 'Bagaimana Memperkasa Ekonomi Melayu?' anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Majlis dihadiri Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas turut mendapat kerjasama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad (MTEM), Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM (YKPD) dan Yayasan DPMM Johor (YDPMMJ).

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ketika masih mentadbir negara juga, beliau memilih untuk membariskan pemimpin muda, malah menukar semua Menteri Besar dengan membariskan mereka yang berusia lingkungan 30-an termasuk Tan Sri Mohd Isa Samad.

"Bagi saya perwakilan perlu memilih dengan melihat kita bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Jangan setakat pada UMNO saja.

"Walaupun sejarah UMNO dan ketika zaman saya juga, perwakilan akan memilih berdasarkan kehendak Presiden. Harus akur bahawa kita akan berdepan PRU-14, bukan pilih sekadar suka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan setiap rancangan memperkasa ekonomi Bumiputera dilakukan dengan baik, berikutan dasar sedia ada mencukupi untuk membawa perubahan kepada kumpulan masyarakat berkenaan.

Katanya, Malaysia juga perlu melihat contoh Greece yang mengalami kelembapan ekonomi dan bankrap disebabkan kegagalan mengurus ekonomi.

"Kita kena belajar daripada kesilapan negara lain. Subsidi boleh dikurangkan, tetapi biar dilakukan secara berperingkat dan kita takkan bermasalah jika melakukan perbelanjaan yang berkawal, takkan ada kesan teruk.

"Kerajaan juga mesti melabur dan buat sesuatu untuk mendapatkan pulangan termasuk daripada cukai. Mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus, bagi saya ia perlu dikaji secara menyeluruh," katanya.

No comments:

Post a Comment