GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 9, 2014

Unjuran 650,000 unit kenderaan dijual tahun ini


Publication: BH
Date of publication: Jan 9, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Industri automotif Malaysia diunjurkan kekal positif tahun ini dengan jangkaan jualan kenderaan sebanyak 675,000 unit, meningkat 4.2 peratus berbanding 648,000 unit tahun lalu.

Menurut firma perunding strategi perniagaan antarabangsa, Frost Sullivan, unjuran pertumbuhan positif dalam jualan keseluruhan industri (TIV) itu dipacu oleh persekitaran ekonomi negara yang kukuh serta aliran pelaburan berterusan dalam pelbagai sektor.

Ketua Automotif dan Pengangkutan Asia Tenggaranya, Kavan Mukhtyar, berkata walaupun berlakunya peningkatan kos operasi susulan kenaikan tarif elektrik yang berkemungkinan meningkatkan harga kenderaan pada masa depan serta jangkaan kenaikan kadar tol, ia bagaimanapun tidak menjejaskan pertumbuhan pasaran.

Katanya, pengumuman Dasar Automotif Negara (NAP) pertengahan bulan ini dan peningkatan daya saing syarikat automotif menerusi pelancaran beberapa model baru turut memacu pasaran industri automotif di negara ini.

"Isu sama pernah berlaku apabila Bank Negara Malaysia memperkenalkan syarat pinjaman ketat awal tahun lalu, tetapi jualan kenderaan kekal positif kerana orang ramai dapat menerima peraturan baru itu.

"Orang ramai hanya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Justeru, kami berpendapat kenaikan tarif elektrik serta tol hanya memberi kesan sementara dan pasaran akan kembali rancak," katanya pada taklimat Unjuran Automotif Malaysia 2014 Frost & Sullivan di Kuala Lumpur, semalam.

Lepasi sasaran awal

Tahun lalu, jumlah jualan kenderaan tempatan merekodkan sebanyak 648,000 unit, melepasi sasaran awal Frost & Sullivan iaitu 600,000 unit. Pencapaian jualan tahun lalu meningkat 3.2 peratus daripada 627,753 unit pada 2012.

Mukhtyar berkata, pihaknya turut mengunjurkan segmen kenderaan penumpang meningkat kepada 594,000 unit tahun ini, naik 4.1 peratus berbanding 570,700 unit pada tahun lalu.

Katanya, segmen kenderaan komersial pula dijangka berkembang 4.8 peratus kepada 81,000 unit daripada 77,300 unit tahun lalu.

"Pertumbuhan kenderaan penumpang dan komersial dijangka lebih positif tahun ini walaupun industri dan pengguna berdepan peraturan pinjaman ketat, rasionalisasi subsidi dan kemungkinan pengurangan insentif bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) bagi segmen hibrid," katanya.

Mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April 2015, beliau berkata, ia sebenarnya memberi kesan positif kepada harga kenderaan dengan beberapa model dijangka lebih murah.

"Kami yakin pengeluar kenderaan sudah sedia maklum berhubung GST dan mengambil langkah strategik bagi memastikan kesediaan mereka berdepan sistem percukaian lebih sistematik itu," katanya.

Mengulas mengenai NAP, Mukhtyar berkata, firma itu menjangkakan kerajaan memberi tumpuan kepada kenderaan cekap tenaga (EEV), termasuk memberi insentif kepada model pemasangan tempatan (CKD).

"Kita sudah sedia maklum insentif bagi kenderaan elektrik dan hibrid tamat 31 Disember lalu. Jadi, kami jangka pemberian insentif akan diteruskan untuk kenderaan CKD.

"Pemberian insentif ini dijangka menjadikan harga EEV lebih kompetitif, sekali gus meningkatkan lagi pembeliannya. Langkah ini penting jika kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan segmen ini menjelang 2020," katanya.

No comments:

Post a Comment