GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, January 8, 2014

GST mampu kawal harga


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus bermula 1 April 2015 akan membawa kebaikan jangka panjang kepada rakyat kerana mampu membendung kenaikan harga barangan secara tidak terkawal.

Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, T. Subromaniam berkata, kelebihan terbesar adalah GST merupakan sistem percukaian yang amat telus sehingga menyukarkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Apabila GST dilaksanakan kelak, mekanisme harga barang di Malaysia akan menjadi sangat telus dan peniaga tidak boleh menaikkan harga dengan sesuka hati.

“Dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) digunakan sekarang, kita tidak tahu dan susah untuk kesan harga barang dinaikkan di peringkat mana dalam rantaian bekalan," katanya di forum mengenai GST di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Selain Subromaniam, seorang lagi ahli panel forum tersebut ialah Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Kewangan, Muhammad Ghiyathuddin Abdul Halim.

Forum tersebut antara pengisian dalam Persidangan Isu Kebangsaan Generasi Y ‘GST, Pendidikan Tinggi Percuma dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)’ anjuran Generasi Pelapis Malaysia yang dihadiri kira-kira 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, Subromaniam tidak menafikan pelaksanaan GST akan menyebabkan berlaku sedikit kenaikan harga barangan tertentu tetapi secara ‘one off’ atau sekali.

Katanya, ini kerana asas percukaian diperluaskan menyebabkan barang yang sebelum ini dikecualikan cukai, dikenakan cukai di bawah GST.

“Namun selepas kenaikan awal harga barangan secara sekali, harga barangan akan menjadi stabil dan peningkatan selepas itu sangat minimum.

“Kalau kita tidak laksanakan GST, harga barang akan terus melonjak pada harga yang tidak masuk akal," ujarnya.

Beliau berkata, GST adalah sistem moden kerana dilaksanakan di lebih 160 buah negara, berbanding SST yang boleh dianggap sistem percukaian abad ke-18.

“Apa yang buruknya tentang GST? Kerajaan cuba perbetulkan sistem percukaian sekarang yang menyebabkan harga barang selalu naik," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment