GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, January 8, 2014

GST perkukuh kewangan negara


Publication: BH
Date of publication: Jan 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Dr Wasitah Mohd Yusof

Secara umumnya, kerajaan ketika bajet 2013 membayangkan satu usaha besar dalam mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Malahan, satu Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan sudah dibaca di Dewan Rakyat. Pelbagai reaksi positif dan negatif diterima pihak kerajaan.

Kini, kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa mempunyai kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan juga isu pindahan harga (transfer pricing).

Justeru, ketika pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Perdana Menteri mencadangkan agar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan dimansuhkan.

Kemudian, dua cukai yang dimansuhkan ini digantikan dengan satu cukai sahaja dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and services tax atau GST).

Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini dicadangkan akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015.

Pengumuman kerajaan mengenai cukai ini menarik perhatian rakyat Malaysia terutama golongan belia yang memberi pelbagai reaksi sama ada positif mahupun negatif.

Program intelektual

Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mengambil pendekatan dengan menganjurkan program intelektual Persidangan Meja Bulat yang bertajuk 'Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST): Apa Pandangan Belia?' pada 21 Disember lalu bertempat di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Penganjuran persidangan itu adalah untuk menyediakan platform bertujuan memberi penerangan yang jelas dan berkesan kepada generasi muda mengenai pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan di Malaysia.

IYRES melalui persidangan ini ingin membuka peluang kepada generasi muda untuk menyuarakan pandangan, maklum balas mahupun reaksi berkaitan pelaksanaan GST.

Pada akhir persidangan ini pula, input yang diterima akan dirumuskan, seterusnya dijadikan sebagai satu dokumen untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi oleh Menteri Belia dan Sukan.

Empat kertas kerja dibentangkan di persidangan tersebut yang dihadiri oleh 100 peserta.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia (Dasar Percukaian Negara), Khairul Annuar Osman; kertas kerja Kedua, Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Apa Itu Cukai Barang & Perkhidmatan?) Subromaniam A/L Tholasy; kertas kerja ketiga, unit Teknikal GST, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) - (Kesan Cukai Barang & Perkhidmatan Kepada Ekonomi Malaysia), Mohd Rozlan Mohamed Ali; dan kertas kerja keempat dibentangkan oleh Timbalan Presiden Eksekutif Kebangsaan Junior Chamber International Malaysia (GST: Perspektif Usahawan Muda), Seng Tat Leong.

Persidangan sehari ini disempurnakan perasmian penutupnya oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah IYRES, Adnan Abu Hassan. .

GST jadikan negara maju

Beliau dalam ucapannya menyokong pelaksanaan sistem cukai ini kerana GST adalah langkah ke hadapan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Menurut beliau lagi, GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada, maka pelaksanaan GST dijangka tidak akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, melainkan jika kadar cukai dikenakan adalah lebih tinggi daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan pada masa ini.

Sembilan rumusan hasil daripada Persidangan Meja Bulat Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST): Apa Pandangan Belia? dipersetujui peserta yang hadir iaitu:

- Belia berpandangan pihak kerajaan perlu memberi penerangan secara menyeluruh agar dapat meningkatkan tahap kefahaman terhadap pelaksanaan GST pada peringkat akar umbi.

- Mengadakan sesi dialog yang efektif antara pemimpin dengan rakyat bagi membolehkan setiap persoalan dapat dirungkai berkenaan pelaksanaan GST.

- Belia menyarankan agar pihak kerajaan memberi jaminan GST tidak akan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang yang membawa kepada kos sara hidup yang tinggi.

- Belia mencadangkan semua pihak berkenaan dengan pelaksanaan GST dapat memainkan peranan menyebarkan maklumat yang jelas dan tepat mengenai keperluan dan peranan sebenar GST kepada Masyarakat dan Negara.

- Belia berpandangan agar pihak kerajaan menjelaskan kepada rakyat khususnya golongan itu antara inisiatif serta Tangible Outcome yang diperoleh daripada pelaksanaan GST pada 1 April 2015.

- Belia mencadangkan agar pihak kerajaan membuat engagement dengan agensi seperti Kastam, KPDNKK serta lain-lain agensi untuk diberi latihan dalam membantu memberi penerangan pelaksanaan GST kepada rakyat.

- Belia berpendapat kerajaan perlu lebih telus memberi penjelasan terhadap penggunaan hasil cukai GSTagar rakyat memahami ke mana hasil cukai disalurkan dan bagaimana ia dibelanjakan.

- Belia mencadangkan agar hasil input diperoleh daripada persidangan ini dibincangkan ke dalam Makmal Kos Sara hidup yang akan dilaksanakan kerajaan.

- Mencadangkan agar subjek percukaian diselaraskan dan dimasukkan dalam kurikulum pendidikan sekolah menengah.

Rumusan dipersetujui ini diharapkan dibawa ke peringkat jemaah Menteri untuk makluman dan tindakan sewajarnya oleh kerajaan.

Oleh sebab GST menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada, maka pelaksanaan GSTdijangka tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Tetapi, ia boleh berubah jika kadar cukai dikenakan lebih tinggi daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan pada masa ini.

Kadar GST lebih rendah

Kerajaan dijangka mengenakan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan. Alasan yang menyatakan Kerajaan akan sentiasa menaikkan kadar GST juga kurang tepat berdasarkan pengalaman lepas menunjukkan kadar cukai jualan diperkenalkan pada 1972 hanya dinaikkan sekali sahaja 1983.

Kadar cukai perkhidmatan pula tidak pernah dinaikkan sejak diperkenalkan pada 1975. Oleh yang demikian, cadangan Kerajaan untuk melaksanakan GST wajar disokong kerana ia akan memberi kebaikan dan kesan positif kepada ekonomi negara terutamanya dalam jangka masa panjang.

Kementerian Belia dan Sukan amat sedar betapa perlunya pandekatan berdasarkan pendapat dan pandangan masyarakat khususnya generasi muda dalam membincangkan perlaksanaan GST ini.

Walau bagaimanapun, sebagai masyarakat yang matang kita perlu menilai terlebih dahulu sesuatu dasar termasuk diperkenalkan Kerajaan sebelum menjatuhkan hukumannya.

Bak kata pepatah Inggeris Don't Judge A Book By Its Cover. Dalam hal seperti ini, kita perlu menolak mainan emosi dan perasaan yang cuba ditanamkan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik dan kepentingan peribadi.

No comments:

Post a Comment