Publication: HM
Date of publication: Jan 2, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Siti Fatimah Hassan
Tumpat: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan membawa masuk 1.6 tan dadah ke negara ini bernilai RM114 juta melalui pelbagai pintu masuk khususnya lapangan terbang sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pihaknya sentiasa berusaha memperketatkan kawalan di pintu masuk negara dengan lebih sempurna bagi mengelakkan cubaan menyeludup dilakukan.
Beliau berkata, pihaknya sedar tugas mereka semakin mencabar kerana bukan lagi hanya tertumpu kepada memungut hasil cukai, tetapi pada masa sama melaksanakan undang-undang termasuk pemerdagangan orang, penggubahan wang haram serta pengimportan masuk hidupan liar.
"Bagi penyeludupan dadah untuk tahun lalu saja, kami merampas dadah berjumlah 1.6 tan membabitkan nilai RM114 juta dan bayangkan jika jumlah ini tidak dirampas, kemusnahan yang akan berlaku pada masyarakat begitu teruk sekali.
"Kami perlu sentiasa memerhatikan pintu masuk utama terutama di lapangan terbang yang perlu dikawal sempurna bagi memastikan ia tidak berlaku.
"Tugas kami juga mencabar kerana banyak aktiviti tidak sihat berlaku dalam perdagangan antarabangsa dan kami harus berada satu langkah ke hadapan dan melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra Ketua Pengarah Kastam dan Pengurusan Tertinggi Jabatan bersama penduduk Pengkalan Kubor di Perumahan Kastam, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Penguatkuasaan dan Pematuhan Datuk Matrang Suhaili, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Zainul Abidin Taib, Pengarah Siasatan Kastam Datuk Azizah Ibrahim serta Pengarah Kastam Kelantan Datuk Azis Yacub.
Dalam perkembangan lain, Khazali berkata, pihaknya menjangka mendaftar 250,000 hingga 300,000 pelesen yang mengendalikan perniagaan menerusi sistem pengkomputeran selaras pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), myGST, yang kini dalam peringkat ujian sebelum dilaksanakan pada April 2015.
Katanya, sistem menelan kos RM100 juta itu perlu diuji sepenuhnya bagi memastikan ia cekap sebelum diserah untuk digunakan JKDM.
"Oleh kerana GST adalah cukai lebih efisien, kami memang menjangkakan peningkatan hasil. Sistem itu kini dalam peringkat ujian sebelum digunakan sebaik GST dilaksanakan nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment