GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, January 10, 2014

Belia jadi benteng pertahankan negara


Publication: BH
Date of publication: Jan 10, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 032
Byline / Author: Oleh Shahrul Nasrun Kamaruddin

Jika bercakap soal masa depan anak muda negara kita, tentu banyak persoalan akan muncul pada pemikiran kita semua dan hebat diulas kerana demonstrasi haram pada malam 31 Disember 2013 di Dataran Merdeka, majoritinya membabitkan anak muda berbangsa Melayu yang berhasrat mengguling Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Adakah kefahaman terhadap Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan akan terhakis sekiranya gejala demonstrasi jalanan atas niat itu akan terus dianjurkan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan semua dasar Kerajaan Persekutuan?

Definisi demonstrasi haram itu adalah menentang harga barang dan kos kehidupan yang bakal naik dan diperhebatkan dengan tentangan terhadap GST yang akan bermula April nanti, tentu membebankan kewangan rakyat dan fokus kepada anak muda yang baru bekerja. Tetapi, perlu diingatkan pada Perhimpunan Agung UMNO lalu, ada perwakilan termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyuarakan pendapat dan teguran kepada kerajaan supaya kenaikan tol dan tarif elektrik dikaji semula sebelum mencapai keputusan mutlak.

Cuba berfikir dari sudut berlawanan, berfikir di luar kotak pemikiran apabila harga barang naik, apakah yang perlu dilakukan pengguna? Tentunya jawapan adalah berjimat. Kaedah berjimat juga bukan saja akan membantu kewangan, malahan akan mewujudkan kehidupan lebih sihat. Adakah rakyat Malaysia ada yang mati kelaparan?

Langkah berjimat-cermat

Tahukah anda berapakah jumlah bahan buangan makanan yang dikumpulkan setiap hari? Sebanyak 1.8 juta tan bahan buangan makanan tahun lalu dan akan terus meningkat setiap tahun. Maka langkah berjimat-cermat perlu diadaptasikan dalam diri kita semua supaya dapat menghindari pembaziran. Tidak perlu tunggu Kempen Jimat, Inflasi dan sebagainya daripada kerajaan kerana inisiatif ini harus mula dipupuk oleh kita sendiri.

Melihat pembentangan Bajet 2014 yang mempunyai pelbagai kemudahan, tajaan pendidikan dan perniagaan, peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan jumlah 100 'touch point' yang dibentangkan jelas cukup untuk membantu anak muda dan rakyat Malaysia untuk mengambil peluang dalam program yang akan dijalankan mengikut bidang pendidikan, pertanian, ekonomi mahupun sosial. Satu contoh, RM2 bilion diperuntukkan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk program tajaan pendidikan. Satu jumlah yang cukup besar kepada anak muda untuk merebut peluang yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pinjaman mudah yang lain termasuk kepada peniaga pasar malam berjumlah RM100 Juta, TEKUN RM700 juta, Amanah Ihtiar Malaysia RM300 juta, Siswazah RM50 juta, PKS RM120 juta, Skim Usahawan Permulaan Bumiputera RM200 juta. Jumlah RM1,82 bilion sembilan dana usahawan dalam Bajet 2014 adalah untuk membantu rakyat mencapai pendapatan yang lebih dalam bidang perniagaan. Bagi saya, ini adalah Transformasi Bitara oleh Najib selaku Perdana Menteri dibantu oleh pemimpin Kabinet Barisan Nasional.

Jelas sekali tidak wajar bagi rakyat Malaysia serta anak muda secara amnya menyokong mana-mana gerakan menggulingkan kerajaan. Demonstrasi bukanlah satu bahan uji kaji bagi melihat sokongan kepada penganjur, tetapi ia membinasakan imej negara yang dilihat sebagai negara yang aman damai di mata dunia. Usaha kerajaan ini harus dilihat sebagai satu konsep kepada anak muda dalam pembangunan potensi diri serta melestarikan kreativi dan inovasi. Belia Malaysia amat bertuah kerana kepentingan mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk melahirkan generasi masa depan yang gemilang. Sebagai pemimpin masa depan, belia Malaysia perlu bersama kerajaan menjayakan pelbagai program transformasi bitara untuk meningkatkan kemajuan dan mengekalkan kemakmuran negara.

Apakah nasib anak muda sekiranya terus dihasut dan minda diterokai oleh persepsi salah dan kotor yang dimainkan oleh Pakatan Pembangkang? Jawapannya adalah anak muda termasuk sisawazah akan terus ketinggalan mencapai cita-cita mereka. Dunia moden adalah dunia perlumbaan. Yang malas dan tidak ambil peluang yang disajikan oleh kerajaan akan ketinggalan. Turun berdemonstrasi menggulingkan kerajaan bukanlah tugas anak muda. Hasrat dan impian ibu bapa melihat anaknya berjaya seharusnya dijadikan keutamaan di benak fikiran. Ibu bapa tidak akan meminta wang ringgit sebagai balasan sekiranya kita berjaya nanti.

Mantap semangat cinta negara

Kejayaan kita cukup membahagiakan mereka kerana secara lumrahnya yang hidup akan pergi jua satu hari nanti dan kejayaan pendidikan mahupun perniagaan dan kerjaya itu akan dapat membantu anak muda untuk menempuh kehidupan seterusnya. Mereka mestilah memantapkan semangat cintakan negara dan berusaha menjadi warga negara yang berguna. Generasi belia juga perlu memurnikan jiwa dan pemikiran supaya tidak mudah dipengaruhi anasir yang hanya akan memudaratkan masa depan rakyat dan negara. Ketika ada pihak yang cuba menghasut orang ramai mencetuskan kekacauan untuk menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat, generasi belia perlu menjadi benteng kukuh mempertahankan kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam. Sesungguhnya masa depan rakyat dan negara ini bergantung kepada generasi belia yang berfikiran rasional, bersemangat waja dan berjiwa patriotik yang sanggup berkorban demi kesejahteraan bersama.

Usah hanyut dibuai mimpi indah

Siapa yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Siapa yang harus dipersalahkan sekiranya masa depan anak muda negara terus hanyut dibuai mimpi indah dek hasutan kata-kata pengkhianat negara? Adakah kita harus persalahkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, yang menjalankan tanggungjawab dan arahan oleh ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Generasi muda perlu sedar seandai mereka tidak hirau, malah tidak ambil peduli, masa depan mereka terus gelap kerana sibuk memperjuangkan kata-kata pujangga Ketua Pembangkang sehingga lupa tanggungjawab sebenar.

Dalam sudut politik negara, hanya pada Perhimpunan Agung UMNO, anak muda diberikan peluang berhujah menyampaikan hasrat, impian dan cita-cita mereka kepada pucuk pimpinan. Saya tidak pernah melihat anak muda yang menyokong Parti Keadilan Rakyat, PAS mahupun DAP diberi peluang seumpama itu dalam sidang parti terbesar mereka. Jelas anak muda semata-mata diperalat dan dipergunakan untuk mencapai cita-cita politik mereka tanpa menghiraukan denyut nadi dan harapan masa depan orang muda.

Sedarlah sahabat generasiku kerana dalam membangun dan memajukan negara, kita perlukan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan kemahiran tinggi. Antara sumber tenaga manusia yang sangat berharga bagi negara ialah belia. Generasi anak muda adalah satu aset negara yang sangat berharga, merekalah yang akan menjadi tonggak kekuatan negara sebagai pewaris kepimpinan di masa depan, mereka perlu diasuh, dididik dan dibimbing di jalan yang betul agar menjadi manusia generasi berilmu, beriman, beramal, bertakwa dan berakhlak mulia kerana dengan demikian sahajalah akan dapat melahirkan belia yang menjadi sumber tenaga yang mampu menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 97, tafsir-Nya: "Sesiapa yang mengerjakan amalan yang salih sama ada laki-laki atau perempuan sedang dia orang yang beriman, maka sesungguhnya Kami sudah tentu akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik, dan Kami sudah tentu akan membalas mereka dengan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan." Bangsa kita, negara kita adalah warisan kita.

* Penulis ialah Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia - Suara Generasiku

No comments:

Post a Comment