GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, January 8, 2014

GST - Pengguna perlu berpengetahuan


Publication: BH
Date of publication: Jan 8, 2014
Section heading: 1Klassifieds
Page number: 001

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan kaedah yang dapat mengurangkan cukai korporat serta cukai pendapatan individu. Walaupun maklumat tersebut tampak menarik bagi golongan yang terbabit namun pengetahuan rakyat tentang cukai tersebut masih di tahap sederhana.

Di dalam pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia akan melaksanakan sistem GST mulai 1 April 2015. Masa untuk cukai tersebut dijadikan sebahagian sistem percukaian kepada rakyat sebagai pengguna perkhidmatan dan pembelian masih panjang.

GST bukan cukai tambahan kepada cukai yang telah dikenakan kepada pengeluar barangan. Rakyat dimomokkan bahawa GST merupakan cukai berganda yang menyebabkan dompet rakyat menipis dan peniaga semakin kaya-raya.

Rakyat perlu difahamkan apakah perkara yang boleh dikenakan cukai dan apakah perkara yang tidak boleh dikenakan cukai. Buat masa ini maklumat yang diuar-uarkan, GST tidak akan dikenakan ke atas beberapa barangan makanan asas yang menjadi keperluan harian rakyat.

Jika makanan asas seperti beras menjadi nasi goreng dan diniagakan di restoran berhawa dingin sudah pasti harganya akan melambung. Dalam soal ini harga makanan itu sendiri sepatutnya lebih rendah.

Namun apabila dikaitkan dengan cukai perkhidmatan sudah pasti makanan yang tidak dikenakan cukai menjadi suatu yang boleh cukai kerana ia dijual di tempat yang istimewa dan selesa pula. Dalam soal ini jika tidak mahu dibebani GST makan sahaja di rumah dan di restoran tom yam yang berlambak di negara ini.

Pelaksanaan GST ini sebenarnya tidak patut dipolitikkan selagi Kerajaan Pusat mampu meningkatkan kecekapan pengurusan kementerian dan jabatan yang terlibat. Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Industri dan Asas Tani perlu memainkan peranan yang penting bagi memastikan perlaksanaan GST tidak menjadi dasar fiskal yang menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu peniaga sedang pengguna terus ditekan secara langsung dan tidak langsung.

Pemantauan teliti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia terhadap setiap syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) perlu lebih telus agar rakyat negara ini tidak menjadi mangsa pihak-pihak yang sering sahaja mencari lompang-lompang (loop hole) dalam sistem penyampaian dasar Kerajaan.

Justeru, untuk mengelakkan pengguna ditekan atau ditipu oleh peniaga, penerangan dari semasa ke semasa yang lebih jelas kepada rakyat oleh Kementerian Kewangan perlu dibuat secara menyeluruh.

Kerajaan juga perlu memperkenalkan program penampan yang lebih mantap untuk menangani kesan GSTkepada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar.

Pelaksanaan GST tidak boleh dilaksanakan dengan terburu-buru dan perlu diadakan tempoh percubaan sepertimana yang dilaksanakan di negara lain. Kerajaan juga sepatutnya menurunkan cukai pendapatan dan juga meningkatkan pendapatan seisi rumah untuk menangani kesan langsung daripada GST. Di dalam konteks Bajet 2014 penurunan kadar cukai tertentu untuk golongan sederhana amat dialu-alukan.

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM300 untuk golongan muda dengan syarat tertentu, golongan berpendapatan isi rumah sehingga RM3,000 mendapat BR1M sebanyak RM650 dan golongan berpendapatan sehingga RM4,000 mendapat BR1M sebanyak RM450 membuktikan Kerajaan Pusat benar-benar komited untuk membantu rakyat menyerap kenaikan harga barangan akibat pengurangan subsidi minyak petrol.

Mungkin bila GST dilaksanakan rakyat yang layak sama ada akan mendapat BR1M yang lebih tinggi atau sebaliknya. Berikan sistem ini peluang untuk membuktikan kebaikannnya.

Justeru, pembangkang sebagai pihak penyemak dan pengimbang (check dan balance) juga sepatutnya bersifat membantu Kerajaan dalam menerangkan isu GST kerana ia tidak wajar dipolitikkan kerana ia melibatkan ekonomi negara secara holistik.

Tidak perlu melihat semua perkara sebagai bola tanggung kerana jika GST tidak memberi faedah mengapa 160 negara di dunia sudah melaksanakannya. Cuba bersifat empati sekali ini.

Jangan dikompromi perkara bersangkut-paut ekonomi kerana perlaksanaan GST dengan kerjasama semua pihak bukan sahaja memberi faedah kepada rakyat malah kepada pemimpin dan penyokong pembangkang itu sendiri.

* TERBITAN PERSATUAN KESELAMATAN PENGGUNA KUALA LUMPUR; PKPKL@hotmail.com

No comments:

Post a Comment