GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 6, 2014

Hak beza pendapat bukan lesen anarki


Oleh Salleh Buang

SUASANA sekitar Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka, kuala lumpur baru-baru ini.

HAK untuk tidak setuju dan menyatakan pendapat yang berbeza (right to dissent) memang diiktiraf oleh undang-undang semua negara yang mengamalkan demokrasi. Ia sebahagian daripada hak bersuara (freedom of expression).

Persoalan yang perlu diberi perhatian adalah sama ada hak itu sesuatu yang mutlak (tanpa syarat dan sempadannya) atau bersyarat (tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, ada had dan batasannya).

Di Malaysia hak bersuara disebutkan dalam Perkara 10 Perlembagaan. Hak berhimpun juga disebutkan dalam peruntukan yang sama. Perkara 10 Fasal (1) jelas menyatakan bahawa “hak bercakap dan bersuara" serta hak “untuk berhimpun" diberi kepada warganegara sahaja. Perlembagaan kita tidak menjanjikan kebebasan yang sama kepada bukan warganegara.

Dalam Perkara 10 Fasal (3) ada dinyatakan bahawa Parlimen boleh, melalui undang-undang, mengenakan apa-apa sekatan kepada hak tersebut yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam.

Di bawah hak bersuara dan berhimpun yang bersyarat (bukan mutlak) inilah rakyat negara ini bebas menyuarakan rasa terkilan atau dukacita mereka terhadap apa jua dasar yang telah lama atau baru dibentuk oleh kerajaan, dan terhadap apa jua tindakan atau tinggalan yang kerajaan telah lakukan.

Dalam kes Public Prosecutor lawan Pung Chen Choon (1993) Mahkamah Agung telah menyatakan bahawa kebebasan bersuara yang ada di bawah Perlembagaan kita tidak sama (dan tidak boleh disamakan) dengan kebebasan bersuara yang ada di India, England dan Amerika Syarikat. Kebebasan bersuara yang boleh dikatakan mutlak wujud di beberapa negara Barat misalnya Finland, Sweden, Norway, Denmark dan Ireland.

Seperti kita semua maklum rakyat negara ini telah lama menyuarakan rasa kesal dan dukacita mereka terhadap peningkatan kos sara hidup. Rakyat sedih dan marah harga barang sentiasa naik, tiada yang turun. Tidak cukup dengan kenaikan harga barang keperluan harian (gula, tepung, beras, ikan, ayam dan sebagainya), kerajaan baru-baru ini mengumumkan beberapa langkah dan dasar baru yang akan menyebabkan kos sara hidup mereka di masa depan terus naik.

Rakyat diberi mesej seolah-olah kenaikan harga barang dan kos sara hidup mereka akan terus naik tanpa henti. Nampaknya, segala alasan yang diberi oleh kerajaan tentang kenapa harga barang ini naik belum lagi dapat menyakinkan rakyat sepenuhnya, lalu mereka terus mempersoalkannya.

Sudahlah tidak mendapat jawapan atau alasan yang meyakinkan, beberapa kenyataan yang keluar dari mulut beberapa pihak (termasuk di kalangan Menteri) juga turut mengguris hati rakyat. Misalnya, ada Menteri yang berkata -

“Harga gula naik, jangan makan gula",

“Harga ayam naik, jangan makan ayam",

“Bayaran tol di lebuh raya naik, jangan guna lebuh raya, guna jalan lama".

Kemarahan rakyat terhadap kata-kata kurang bijak dari pemimpin yang sepatutnya bercakap dengan lebih berhemah lagi telah membuat seorang kenalan menulis dalam facebooknya “harga kain kapan naik, jangan mati".

Kombinasi fakta kenaikan harga barang, dicampur pula dengan jawapan beberapa menteri yang kurang bijaksana, serta pengumuman terbaru kerajaan mengenai kenaikan TOL serta pelaksanaan GST dalam masa terdekat menyebabkan pihak-pihak tertentu melancarkan kempen terhadap kerajaan. Antara yang cergas “mempersoalkan ketidakprihatinan kerajaan ini" adalah Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), dengan dibantu oleh (berganding sama dengan) beberapa pihak lain.

Bagi Pemuda Pas, inilah peluang yang mereka cari untuk menggerakkan ahli-ahlinya berkumpul di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember 2013. Ketuanya, Suhaizan Kaiat, dipetik sebagai berkata ,Pemuda Pas tidak berhasrat menggulingkan sesiapa melalui himpunan ini kerana masih percaya dengan sistem pilihan raya untuk menurunkan pemerintah. Kehadiran mereka di situ adalah untuk menzahirkan perasaan resah dengan kenaikan pelbagai harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

“Ini bukan himpunan menggulingkan kerajaan tetapi himpunan ini adalah hak demokrasi mengikut lunas-lunas perlembagaan," katanya lagi.

Buat pertama kali dalam sejarah sambutan Tahun Baru di Dataran Merdeka, pada malam Rabu lalu, tiada orang menanti countdown kepada 1 Januari 2014.

Laporan media menyatakan bahawa pada 11 malam, penunjuk perasaan merempuh sekatan polis dan memasuki Dataran Merdeka. Tidak lama selepas itu, mereka menyerbu majlis sambutan Ambang Tahun Baharu. Akhirnya, pada kira-kira 11.35 malam, mereka berjaya masuk ke dalam padang. Sebahagian daripada mereka kemudian membaling botol ke arah pentas persembahan. Selepas insiden itu, konsert diberhentikan dan anggota polis mula berada di atas pentas.

Kesudahannya, ribuan anak muda yang ramai berbaju hitam ini berjaya mensabotaj dan menjahanamkan sambutan Tahun Baru yang dinanti-nantikan oleh warga kota dan pelancong di situ. Pastinya mereka merasa puas dengan kejayaan mereka merosakkan rancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mengecewakan harapan orang ramai yang hadir pada malam itu.

Terbaru khabarnya aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim dipetik sebagai berkata dia akan memfailkan saman tuntutan RM10 juta kerana difitnah oleh pihak Polis yang mengaitkan dirinya dengan cubaan mengguling kerajaan. (lihat http://my.news.yahoo.com/adam-adli-sue-cops-over-rally-claims-094100445.html) DBKL yang menganjurkan konsert Ambang Tahun Baru di Dataran Merdeka pada 31 Disember itu, kini memikirkan apa tindakan susulan yang mereka boleh ambil terhadap penganjur perhimpunan haram. Khabarnya mereka akan berbincang terlebih dahulu dengan PDRM.

Mengikut pihak polis, ada 4 NGO yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu, iaitu TURUN, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Seperti dinyatakan, ahli dan penyokong Pemuda Pas juga terlibat sama.

Kita tidak mempersoalkan hak mana-mana pihak (selagi mereka rakyat negara ini) menyuarakan pendapat mereka (sekalipun berbeza dengan pendirian kerajaan) dan berhimpun. Tetapi hak ini bersyarat, dan Parlimen telah pun membuat undang-undang tertentu mengenai hak bersuara dan hak berhimpun.

Khususnya, hak bersuara dikawal oleh undang-undang tertentu, antaranya Akta Fitnah dan Akta Hasutan, manakala hak berhimpun kini dikawal oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Sementara kita mengakui bahawa TURUN, SMM, SAMM dan ahli Pemuda Pas semuanya berhak bersuara membantah kenaikan kos sara hidup dan untuk tujuan itu berhimpun dan mengajak rakyat jelata berhimpun sama dengan mereka, badan-badan NGO dan politik ini perlu menunjukkan contoh yang baik kepada semua - iaitu patuhi sepenuhnya segala kehendak undang-undang negara ini.

Jangan hasut rakyat untuk bertindak mengikut emosi dan melanggar undang-undang. Itu anarki namanya. Ingatlah hak bersuara dan berhimpun (sesuatu yang bukan mutlak, dijanjikan oleh Perlembagaan) bukan lesen untuk melakukan anarki.

PENULIS ialah penganalisis undang-undang.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment