KUALA LUMPUR 7 Jan. - Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April 2015 merupakan penjana pendapatan negara demi manfaat dan kepentingan rakyat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun ia tidak bersifat populis namun langkah tersebut penting untuk membawa Malaysia mencapai Wawasan 2020.
"Keputusan kerajaan melaksanakan GST tidak bertujuan menghukum apatah lagi menindas rakyat. Ia lebih kepada tujuan memastikan Malaysia mampu bersaing lebih kompetitif dalam pasaran global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Isu Kebangsaan Generasi Y mengenai GST, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pendidikan Tinggi Percuma di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Sulit Kanan beliau, Datuk Suhaimi Ibrahim. Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Persidangan sehari anjuran Generasi Pelapis Malaysia itu dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada graduan dan pelajar universiti serta pelajar sekolah.
Hishammuddin berkata, anggota masyarakat dan generasi muda terutama golongan pelajar perlu meningkatkan pengetahuan tentang pelaksanaan cukai tersebut.
"Masyarakat perlu diberi penerangan berterusan tentang polisi kerajaan terutama situasi kini ketika media sosial dilihat semakin menguasai minda masyarakat sehingga mereka sukar membezakan kebenaran dan kebatilan," katanya.
Sementara itu, beliau mengajak generasi muda menyertai pasukan Askar Wataniah bagi mewujudkan semangat patriotisme dan tahap disiplin diri yang tinggi.
Hishammuddin menambah, ini penting bagi membentuk kekuatan dalaman diri sebagai generasi pelapis masa depan yang dapat mempertahankan agama, bangsa dan negara.
"Tanpa kekuatan itu, tanpa jati diri yang utuh dan keperibadian luhur kita akan tenggelam dalam nostalgia warisan kita sendiri," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_08/GST-bukan-menghukum-rakyat---Hisham#ixzz2pmS0hI2q
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment